Calon Baik, Jentera Sepakat BN Yakin Dapat Tingkatkan Undi – Mohamad

TANJUNG MALIM, 20 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata calon yang baik dan jentera yang sepakat bakal memberikan kelebihan kepada BN untuk meningkatkan undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim 29 Ogos nanti.

Menurut beliau ramuan berkenaan amat berguna dan perkara berkenaan dapat dilihat sejurus selesai proses penamaan calon baru-baru ini dan sehingga ke hari ini yang segalanya berjalan lancar malah semangat jentera cukup tinggi.

‘’Kita kat sini Alhamdulillah… ada PRK atau pilihan raya kadang-kadang calon bermasalah. Satu minggu sepuluh hari pening kepala kita nak menerangkan calon sahaja tetapi ini tidak ada berbunyi pasal calon. Setakat ini belum ada perkara negatif yang saya dengar. Jadi Alhamdulillah malahan jentera mempunyai semangat yang tinggi.

‘’Yang penting dalam pilihan raya ini kalau calon itu baik jadi kita tidak susah kerja. Nombor dua jentera bergerak bagus Alhamdulillah. Jadi bak kata orang ramuan yang baik semasa kita menghadapi PRK. Jentera parti semua berjalan baik. Alhamdulillah selepas sahaja proses penamaan calon tempoh hari jentera kita bergerak dengan lancar dan calon pula setiap PDM telahpun pergi malah pergi menemui orang ramai di pasar-pasar dan sebagainya.

‘’Mohd Zaidi cuba menemui seramai mungin pengundi sebab dalam masa keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), cara kita berkempen kena patuh kepada SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Maka cara baik sekali ialah cuba pergi rumah ke rumah dan cuba berjumpa seramai mungkin pengundi dan cara itu adalah lebih baik daripada kita mengadakan ceramah besar-besaran.  Insya-Allah saya rasa dalam keadaan begini majoriti yang kita perolehi pada Pilihan raya Umum (PRU) lalu dapat kita dipertingkatkan,’’ katanya.

Terdahulu beliau mengadakan sembang santai bersama jentera parti dan mengadakan ziarah kasih di Felda Besout 1, di sini, Rabu.

Tambah Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, apa yang perlu difikirkan untuk langkah seterusnya adalah membawa seramai mungkin pengundi yang telah dikenal pasti.

‘’Cumanya nanti sejauh mana kita boleh bawa seramai mungkin pengundi pada hari mengundi nanti untuk mereka memberikan sokongan dan undi kepada kita. Ramai sahaja yang menyokong tetapi tidak dapat kita keluarkan pun tidak berguna. Jadi kepada jentera saya yakin semua dah kenalpasti kawasan masing-masing, JR-JR kita dan jentera lain untuk mengangkut pengundi keluar itu penting,’’ ujarnya.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz, akan ditentang dua calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang bakal diadakan pada 29 Ogos nanti. Dua calon Bebas tersebut ialah Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan Santhara Sekaran Subramaniam.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas</em>

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.