Bolasepak Persahabatan Pemuda Meriahkan Kempen BN Di Slim

 

TANJUNG MALIM, 20 Ogos – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan timbalannya Shahril Hamdan hari ini bersama rakan-rakan pemuda parti komponen serta Pemuda PAS dan sayap PPBM, Armada hari ini berkongsi padang dalam satu perlawanan bola sepak dalam kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Perlawanan tersebut yang berlangsung di Padang Bola Pekan Slim menggabungkan kepimpinan pemuda setempat serta pusat yang masing-masing mempamerkan aksi lincah dalam permainan yang berlangsung secara santai.

Perlawanan tersebut yang menggabungkan semua pemimpin sayap parti politik BN dan rakan lain turut menarik minat penduduk setempat yang hadir untuk melihat secara dekat aksi berkenaan.

Dr Asyraf ketika ditemui sejurus berakhir perlawanan berkenaan berkata program berkenaan merupakan rutin yang diadakan pada setiap PRK.

“Ini adalah program rutin kita setiap PRK…santai bola sepak dan kali ini kita menggabungkan tiga sayap daripada Pemuda BN, Pemuda PAS dan juga Armada. Semua bermain dalam pasukan dan permainan hari ini tidak ada menang kalah cuma sekadar untuk kita mempereratkan lagi hubungan silaturahim ukhuwwah persaudaraan di kalangan kita.

“Dan ini juga adalah satu medan yang menghimpunkan sayap parti yang mana kita melihat satu permulaan bekerjasama dalam kerjasama yang lebih besar sekali,” katanya.

Kata beliau lagi pihaknya cukup teruja apabila melihat pemuda setempat khususnya di DUN Slim yang turut sama menjayakan program seumpama itu.

“Paling besar sekali saya teruja melihat pemuda Tanjung Malim khususnya di DUN Slim ini yang turun beramai-ramai di padang bola hari ini.

“Insya Allah ini merupakan salah satu cara kita nak mendekati anak-anak muda dan hampir setiap hari santai bola seperti ini.

“Kita akan turun ke setiap PDM, kampung serta di Felda dalam usaha membantu kemenangan calon BN, Mohd Zaidi Amin,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.