22 Bulan Di Bawah PH Akan Jadi Faktor Pengundi Slim Menilai – Ab Rauf

 

TANJUNG MALIM, 20 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim 29 Ogos nanti merupakan isyarat amaran awal kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau rakyat yang disajikan dengan pemerintahan mereka sebelum ini mungkin akan menjadi salah satu faktor yang akan diambil kira pada hari pengundian PRK Slim nanti.

“22 bulan diperintah baru kita tahu janji bulan bintang. Apa pun dalam kesibukan kami, kita daripada Melaka datang untuk sama-sama membantu jentera di sini. Kita bukan datang untuk makan angin tetapi bersama-sama dengan jentera setempat khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Slim ini.

“Saya mnta jentera DUN Slim untuk bersama-sama dengan kita daripada Melaka dan kehadiran kita sudah pasti untuk memberikan sokongan moral dengan satu matlamat BN mesti menang di DUN Slim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sembang santai bersama jentera setempat di PDM Pekan Slim di sini, hari ini.

Turut bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Presiden MCA, Datuk Sri Wee Ka Siong serta pimpinan yang lain.

Tambah Ab Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, semangat yang diperlihatkan oleh jentera pelbagai peringkat parti termasuk dari kalangan rakan komponen, Friends of BN serta rakan-rakan lain akan memberi impak di PDM tersebut.

“Kita tunjukkan kesepakatan kita… kita tunjukkan muafakat kita dan kalau menang ianya amaran awal kepada PH,” ujarnya.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz, akan ditentang dua calon Bebas dalam PRK DUN Slim yang bakal diadakan pada 29 Ogos nanti. Dua calon Bebas tersebut ialah Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan Santhara Sekaran Subramaniam.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.