UMNO Ambil Kira Pandangan Akar Umbi Untuk Terima Anggota Baharu Dalam MN

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Hujung minggu lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menekankan bahawa apa sahaja keputusan parti mestilah mengambil kira semua aspek terutamanya suara akar umbi yang sentiasa setia dengan perjuangan.

“Atas faktor itulah, ketika UMNO dan Barisan Nasional menjadi sebahagian daripada Kerajaan hari ini, mendengari suara akar umbi itu harusnya dikekalkan. Apa sahaja keputusan parti walaupun amat berat untuk diputuskan, ia perlulah mendapat edosmen daripada ahli-ahlinya.

“Begitulah sifat UMNO. Parti ini dibina daripada keringat rakyat. Dibina daripada perjuangan rakyat yang berjuang habis-habisan sejak sebelum merdeka hingga ke hari ini. Semuanya adalah berpaksikan semangat ABaTa (agama, bangsa dan negara).

“Justeru, ketika Parti Bersatu menyatakan persetujuan untuk menyertai Muafakat Nasional, kepimpinan UMNO seharusnya jangan terlalu mudah memberi reaksi kegembiraan. Sebaliknya, ambillah pandangan akar umbi dahulu kerana merekalah yang sentiasa bersama kita ketika susah dan senang,” katanya dalam kenyataan media berkaitan isu tersebut.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan bahawa Pandangan akar umbi UMNO dan netizen pasti diberi keutamaan dan didengar sebelum Muafakat Nasional membuat keputusan memuktamadkan penerimaan rakan kongsi politik baharu. Majlis Tertinggi UMNO akan memutuskannya

Berkaitan hal ini, Mohd Zaidy juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan bahawa kepimpinan parti menerima respon kurang baik daripada akar umbi di atas penyertaan Bersatu ke Muafakat Nasional yang rata-rata ahli parti tidak bersetuju untuk menerima kemasukan parti tersebut.

“Respon pemimpin akar umbi itu bukanlah kerana mereka terlalu ego, tetapi ia adalah berdasarkan kepada situasi politik semasa yang memaksa mereka untuk tidak menerimanya.

“Sebab itulah, sekiranya kepimpinan parti bersetuju dengan kemasukan Bersatu itu, maka berilah penerangan seadilnya kepada ahli-ahli parti. Berjaga-jagalah dalam menilai persahabatan. Beringatlah pada maksud kata bidalan iaitu ‘gadai terdorong ke pajak, sehari sebulan juga’.”

Apa pun katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan yakin dan percaya sekiranya kemasukan Bersatu ke Muafakat Nasional ini dibuat dengan baik, segala syarat dan perjanjian telah dipersetujui bersama, maka teruskanlah gabungan ini.

“Kami sentiasa terbuka. Malah, telah pun terbukti bahawa parti ini mampu menjadi rakan yang setia. Buktinya adalah Barisan Nasional. Tidak kira semasa susah atau senang, UMNO tetap bersahabat serta setia bersama MCA dan MIC sejak bertahun lamanya.

“Bincanglah secara baik, tetapi tidak bermakna kita mengambil mudah dalam persahabatan. Ketahuilah bahawa apa jua keputusan yang diambil, perjuangan terhadap agama, bangsa serta negara haruslah sentiasa menjadi keutamaan UMNO dari dulu kini dan selamanya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.