PRK Slim: Masa Terbaik Orang Muda Undi Mohd Zaidi, Bawa Aspirasi Belia – Faizal

TANJUNG MALIM, 19 Ogos – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Faizal Sufar berharap pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim memberi kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz pada 29 Ogos nanti.

Ini kerana katanya calon berkenaan bukan sahaja boleh dianggap dari kalangan orang muda malahan daripada ‘kilang pemuda’ itu sendiri selain mempunyai pelbagai pengalaman baik di dalam persatuan belia mahupun NGO kemasyarakatan.

‘’Jadi ini adalah peluang terbaik untuk pengundi di DUN Slim khususnya golongan muda untuk sama-sama menaruh harapan serta memberi kepercayaan kepada Mohd Zaidi dalam usaha membawa aspirasi dan agenda mereka selain kepentingan penduduk setempat itu sendiri.

“Saya penuh yakin dan percaya dengan pengalaman serta kewibawaan yang ada pada Mohd Zaidi insya-Allah, beliau mampu menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan kelak,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Mohd Faizal seterusnya menambah PRK ini juga adalah kayu ukur ataupun penanda aras BN serta Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam gerak kerja sebelum menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jelas beliau kerjasama mahupun muafakat antara satu dengan yang lain harus dilihat pada PRK ini dan tentunya kerjasama jitu sudah pasti akan membuahkan kemenangan kelak.

“PRK ini secara kebetulan berlaku sebelum PRU yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat. Jadi kerjasama secara berpasukan di kalangan semua parti cukup penting dan tidak mustahil BN akan mencapai kemenangan besar pada PRK DUN Slim ini,’’ ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.