Pemuda UMNO Sabah Sepakat Sokong, Pertahan Keputusan Parti

KOTA KINABALU, 19 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah menyokong dan menghormati keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamakan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kata Ketuanya, Ir Abdul Aziz Julkarnain, Pemuda UMNO Sabah sudah berikrar dan berjanji setia untuk mempertahankan sebarang keputusan parti di samping memastikan seluruh jentera di peringkat akar umbi bekerja kuat menghadapi PRN Sabah bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN.

“Pemuda BN perlu bersedia dalam merancang dan memperhalusi segala gerak kerja bagi menghadapi PRN kali ini.

“Fokus harus diberikan dalam perkara ini dan mengalahkan parti Warisan perlu menjadi wadah utama,” tegas Abdul Aziz yang juga Pengerusi Pemuda BN Sabah dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru tambahnya, Pemuda UMNO Sabah menyeru agar semua pihak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan dan terus bergerak bersama bagi memperjuangkan nasib serta kepentingan rakyat Sabah dengan lebih cemerlang juga terbilang. – UMNO ONLINE