Muafakat Nasional Wajar Dengar Suara Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kepimpinan tertinggi parti wajar memperhalusi dan mempertimbangkan suara hati akar umbi sebelum memuktamadkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional.

Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, daripada maklum balas ahli-ahli akar umbi, sekurang-kurangnya ada lima faktor utama yang memperlihatkan fenomena kemarahan dan keresahan ahli akar umbi.

“Pertama, Bersatu hari ini ditanggapi oleh ramai pihak sebagai parti yang sebahagian besarnya didokongi oleh pemimpin-pemimpin yang ditanggapi sebagai mereka yang mengkhianati perjuangan. 15 Ahli Parlimen Bersatu merupakan Ahli Parlimen UMNO yang melompat sedangkan mereka menang atas penat lelah jentera parti di akar umbi.

“Kedua, penubuhan Bersatu sendiri pada peringkat awal sebelum PRU14 adalah serpihan UMNO yang menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga runtuhnya Kerajaan Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah.

“Ketiga, kenyataan-kenyataan berupa penghinaan terhadap UMNO oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri begitu dalam kesannya yang amat mengguris perasaan ahli akar umbi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, faktor selanjutnya adalah kedudukan Bersatu yang dilihat berpecah kepada beberapa kumpulan mencetuskan persepsi ramai bahawa parti Bersatu hanya mahu menyelamatkan kepimpinan tertentu berbanding agenda penyatuan ummah dan perjuangan membela rakyat.

Seterusnya ujarnya lagi, faktor kelima, berbanding dengan pembentukan kerjasama dengan PAS yang melalui proses yang panjang termasuk lebih 700 siri-siri ceramah penyatuan ummah di peringkat akar umbi sehinggalah dibawa ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO untuk dibahaskan dan dipersetujukan bersama, penyertaan Bersatu ini dilihat ahli akar umbi semacam suatu yang terdesak dan terburu-buru.

“Justeru, pandangan-pandangan ini perlu diperhalusi dan didengari oleh kepimpinan parti sebelum membuat keputusan menerima Bersatu ke dalam Muafakat Nasional.

“Saya khuatir penyertaan Bersatu tanpa sokongan penuh ahli-ahli akar umbi akan meruntuhkan matlamat asal yang telah terbina dan terukir hasil satu muafakat yang utuh,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.