Bangga Pemuda Sabah Tetap Setia, Tegar Pertahan Wadah UMNO/BN – Asyraf

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – “Saya amat berbangga dengan Pemuda UMNO Sabah. Tatkala hampir keseluruhan kepimpinan UMNO Bahagian (22 daripada 25 Ketua UMNO Bahagian) lompat meninggalkan parti, merekalah yang setia lagi tegar mempertahankan wadah UMNO dan BN di Sabah dengan serba kekurangan dan keterbatasan. Bahkan 4 daripada pimpinan Pemuda terpaksa memangku jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya sebagai maklum balas terhadap pendirian Pemuda UMNO Sabah.

“Hari ini sekali lagi mereka setia berpadu dan bersepakat mempertahankan wadah demi mengembalikan kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menjelang tiba. Moga Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah akan menampilkan wajah-wajah baharu yang segar, berintegriti, bermaruah dan setia kepada perjuangan sebagai calon PRN untuk membela nasib dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya lagi yang disertakan tanda pagar ‘#RaduTatapRadu’ dan #TatapBN.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah yang diketuai Ir Abdul Aziz Julkarnain menegaskan menyokong dan menghormati keputusan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamakan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera parti bagi menghadapi PRN Sabah.

Malah katanya, Pemuda UMNO Sabah sudah berikrar dan berjanji setia untuk mempertahankan sebarang keputusan parti di samping memastikan seluruh jentera di peringkat akar umbi bekerja kuat menghadapi PRN Sabah bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah dengan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan pula pada 12 Sept manakala pengundian awal ditetapkan pada 22 Sept.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.