22 Bulan Rakyat Disaji Pemerintahan PH, Pengundi Slim Cukup Bijak Buat Keputusan – Noran Zamini

TANJUNG MALIM, 19 Ogos – Rakyat yang disajikan dengan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini mungkin akan menjadi kayu ukur kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil (DUN) Slim untuk membuat keputusan dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Amin.

Naib Ketua UMNO Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Long PTPN berkata jelas sekali apa yang berlaku sebelum ini memperlihatkan senario atau hakikat yang sebenarnya apabila rakyat boleh membuat perbandingan yang cukup jelas.

Menurut beliau dengan rekod 22 bulan negara di bawah zaman PH, pengundi di Slim sudah pasti turut mengikuti perkembangan politik negara dan pertimbangan-pertimbangan tersebut akan diambil kira untuk membuat pilihan pada 29 Ogos nanti.

“Dengan ‘track record’ selama 22 bulan kerajaan PH, saya kira pengundi-pengundi di sini juga mengikuti perkembangan politik tanah air apatah lagi rakyat yang pernah hidup pada zaman kerajaan terdahulu mereka boleh buat perbandingan mana satu parti yang boleh memberi perkhidmatan yang terbaik dan semua rakyat tahu janji-janji serta pembohongan yang telah dilakukan oleh kerajaan PH, manifesto-manifesto yang diabaikan tanpa mempedulikan harapan rakyat.

“Nama sahaja Pakatan Harapan… jadi sebab itulah kalau kita tengok PRK-PRK terdahulu malahan pada PRK di Kimanis Sabah, kita tidak sangka PRK Parlimen Kimanis kita boleh menang dengan majoriti sebegitu yang maknanya bukan sahaja pengundi-pengundi dan rakyat di semenanjung tetapi juga di Sabah mereka tahu bahawa PH itu gagal dalam pentadbiran mereka,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas Majlis Taqarrub di Pusat Daerah Mengundi Trolak Utara sempena PRK DUN Slim 29 Ogos depan.

Tambah Noran, peluang Mohd Zaidi berpandukan kepada penerimaan rakyat dalam tempoh berkempen ini dan apa yang rakyat dah lalui selama 22 bulan maka tentunya BN mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi PRK DUN Slim. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.