Masjid Razaleigh Dibuka Selepas PKPP Ditamatkan

GUA MUSANG, 24 Julai – Masjid Razaleigh yang menelan belanja RM32 juta akan dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau mengambil keputusan itu bagi mengelak berlakunya sebarang penularan COVID-19 berikutan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat yang semakin menurun ketika ini.

“Ia sepatutnya dibuka pada Jumaat depan sempena Hari Raya Aidiladha namun terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu sehingga PKPP ditarik balik.

“Selain itu, pembukaan masjid juga perlu mematuhi SOP yang ketat terutama penjarakan sosial yang boleh menimbulkan rungutan dalam kalangan jemaah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau masjid itu di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri Ab Aziz Yusof dan ADUN Paloh Amran Ariffin.

Masjid Razaleigh yang dibina pada 2016, dikatakan menyerupai model Masjidil Haram di Mekah dan mampu memuatkan kira-kira 3,500 jemaah. – BERNAMA