Abang Jo Yakin Sarawak Mampu Capai Pertumbuhan Diingini Menjelang 2030

MIRI, 22 Julai – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melahirkan keyakinan bahawa negeri itu mampu mencapai pertumbuhan yang 3diingini sebanyak enam hingga lapan peratus menjelang 2030 meskipun cabaran pasca-COVID-19 menjadikan perkara tersebut agak sukar.

Beliau berkata ia boleh dicapai dengan suntikan gabungan secara besar-besaran daripada peruntukan belanjawan negeri dan pelaburan asing.

“Berbekalkan jumlah peruntukan perbelanjaan sebanyak RM20 bilion dalam tempoh dua tahun ini, ekonomi tempatan kita akan disuntik dengan dana yang besar untuk perbelanjaan awam.

“Ini tentu sahaja akan meningkatkan penggunaan dalam ekonomi yang akan memberikan kesan menopang ekonomi,” katanya semasa majlis Sambutan Hari Sarawak 2020 di sini malam tadi.

Abang Johari berkata terdapat juga suntikan sebanyak RM61 bilion dari segi pelaburan asing dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dalam ekonomi tempatan Sarawak.

Abang Johari berkata rakyat Sarawak mewarisi peninggalan nenek moyang mereka yang telah membayangkan masa depan lebih baik untuk generasi selepas mereka.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa setiap orang mempunyai kewajipan untuk membangunkan apa yang diterima daripada nenek moyang mereka dan tidak ada cara lain untuk mereka melakukannya kecuali bersatu dalam menjayakan matlamat bersama ke arah mewujudkan Sarawak Cemerlang.

Beliau berkata Kerajaan Negeri telah mentadbir dan menguruskan ekonomi serta sumber asli dengan sebaik mungkin sehingga ia berkembang dan mempelbagaikan asas ekonomi yang kukuh selain mewujudkan rizab kewangan yang besar.

“Sekarang, kita berada dalam era digitalisasi yang mana kemakmuran ekonomi bergantung kepada kekuatan teknologi.

“Kita mempunyai semua bahan untuk menjadi sebuah negeri makmur yang berasaskan dasar ekonomi yang kukuh dan perpaduan rakyat Sarawak,” kata Abang Johari.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, serta orang kenamaan negeri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.