MUBARAK Johor Sambut Baik Komitmen Ahli Dewan Pertahan Peraturan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Johor menyambut baik persetujuan bersama Ahli Dewan dari semua parti memperbaharui komitmen mempertahan peraturan peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam memastikan perkataan berbaur hasutan, biadap dan seksis tidak lagi digunakan dalam Dewan Rakyat.

Yang Dipertuanya, Datuk Haji Abdullah Md.Ali berkata MUBARAK negeri Johor kesal dengan sikap Ahli Parlimen yang menjadikan Dewan Rakyat seolah-olah pentas sarkas atau program khas Maharaja Lawak tontonan secara langsung rakyat pada setiap hari mulai 13 Julai hingga 27 Ogos 2020 di kaca televisyen dan laman-laman media sosial.

“Sikap segelintir Ahli Parlimen yang suka mencelah dan menganggu ketika sidang sedang berlangsung dengan isu-isu yang tidak berkaitan, mengeluarkan perkataan kurang enak, biadap dan rasis yang disertai kenyataan provokasi, melanggar peraturan mesyuarat jelas memalukan dan menjejaskan kredibiliti wakil rakyat pada pada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini

Tambah Abdullah lagi wakil rakyat perlu sedar mereka ini digelar ‘Yang Berhormat’ perlakuan biadap dan perkataan enak begini tidak sepatutnya terjadi dalam Dewan Rakyat.

“Sikap ini menyebabkan rakyat hilang hormat kepada wakil rakyat. Mereka duduk dalam dewan untuk mewakili rakyat dalam membawa isu dan permasalahan rakyat, bukan tunjuk siapa hero yang paling biadap. Rakyat sedang menunggu adakah masalah dan keluh kesah mereka dibincang dalam dewan dan apakah penyelesaiannya,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.