Hampir 400 Rakyat Malaysia Pulang Ke Tanah Air Semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Seramai 389 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada Selasa dengan kesemua mereka diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka tiba dari Indonesia, Vietnam, Qatar, China, Turki, India, Filipina, Nepal dan Jepun.

Beliau berkata hari ini pula, seramai 40 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India akan pulang ke tanah air menerusi penerbangan komersial Air India Express.

“Mengambil kira faktor risiko jangkitan, kesemua mereka akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 22,869 individu di pintu masuk KLIA bagi tempoh 10 Jun hingga 21 Julai (semalam) dengan 22,791 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka.

Baki 78 lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan, katanya.

Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat 1,453 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di kediaman.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM menahan 75 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dengan tiga individu direman manakala 72 lagi dikenakan kompaun.

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM telah membuat 61,246 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 1,944 pendatang tanpa izin, 560 tekong serta 121 penyeludup ditahan sejak 1 Mei hingga 21 Julai dalam Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara.

“Turut ditahan 73 bot dan 201 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.