Dewan Rakyat Zahir Ucapan Selamat Hari Sarawak

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Dewan Rakyat hari ini menzahirkan ucapan selamat Hari Sarawak yang disambut secara rasmi di negeri Bumi Kenyalang, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said menyampaikan ucapan itu mewakili ahli-ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen sebelum sesi soal jawab lisan dimulakan.

“Saya mewakili seluruh ahli-ahli Dewan Rakyat dan seluruh anggota pentabdiran serta kakitangan Parlimen Malaysia ingin mengucapkan selamat Hari Sarawak kepada seluruh ahli-ahli Yang Berhormat dari Sarawak khasnya dan semua rakyat Malaysia khususnya, rakyat Sarawak,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen yang terlibat dengan sesi soal jawab lisan turut mengucapkan selamat Hari Sarawak antaranya Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar), Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani).

Mereka turut mendoakan agar Sarawak terus maju dan aman.

Sambutan Hari Sarawak 2020 bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ akan diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial dari Miri hari ini.

Kerajaan negeri menetapkan Hari Sarawak disambut setiap 22 Julai sejak 2016 dan diwartakan sebagai cuti umum bagi memperingati tarikh Gabenor Kerajaan Inggeris terakhir, Sir Alexander Waddell secara simbolik menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada rakyat tempatan pada 1963. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.