PKPP Membolehkan Rakyat, Perniagaan Menjana Pendapatan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Pembukaan ekonomi secara berperingkat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah membolehkan rakyat dan perniagaan mula menjana pendapatan dan membayar semula pinjaman kewangan mereka.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, oleh itu langkah seterusnya yang boleh diambil ialah pertolongan secara lebih bersasar kepada golongan yang masih memerlukan.

“Perbincangan bersama bank-bank tempatan (masih dijalankan) untuk pertolongan lebih bersasar termasuk memanjangkan tempoh pembayaran yang akan mengurangkan ansuran bulanan, mengubah terma dan syarat serta mengurangkan kadar faedah sehingga peminjam stabil,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul menegaskan bahawa penangguhan pembayaran balik moratorium bank adalah untuk tempoh enam bulan sahaja dan ianya akan berakhir pada hujung September.

Beliau berkata demikian ketika menjawab sesi pertanyaan Menteri daripada Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan serta soalan tambahannya berkenaan pelaksanaan inisiatif seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara dan moratorium.

Menurut Kementerian Kewangan, moratorium bayaran balik pinjaman oleh institusi kewangan yang bermula sejak 1 April, 2020 dianggarkan berjumlah kira-kira RM51.4 bilion setakat 6 Julai, 2020.

Di bawah inisiatif PRIHATIN, kerajaan telah memperuntukkan RM100 bilion untuk moratorium.

Pendekatan moratorium secara bersasar telah diambil oleh kerajaan di kebanyakan negara di dunia seperti Singapura, Thailand, Itali dan Amerika Syariakat.

Pelaksanaan moratorium secara menyeluruh boleh memberi tekanan tambahan terhadap sistem kewangan dari segi menjejaskan aliran tunai akibat daripada masalah peningkatan pinjaman tidak berbayar. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.