Pahang Raih Pelaburan Baharu Lebih RM91 Juta Pada Jan-Mac

KUANTAN, 21 Julai – Kerajaan negeri Pahang telah menerima pelaburan baharu bernilai lebih RM91 juta bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata jumlah yang meliputi pelabur tempatan dan luar, bagaimanapun masih rendah berbanding sasaran pelaburan sebanyak RM5 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini.

Menurutnya, walaupun sasaran itu terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan negeri sebaliknya akan terus berusaha meninjau lebih banyak pelaburan dalam keadaan kebiasaan baharu, termasuk mengadakan mesyuarat secara telesidang.

“Selain itu, sebuah pusat sehenti telah diwujudkan di Gebeng, Kuantan baru-baru ini bagi mempercepatkan permohonan kemasukan pelabur ke Pahang yang kini memakan masa 22 hari berbanding 44 hari sebelum ini.

“Pusat sehenti itu turut melibatkan penyertaan penyedia infrastruktur di negeri ini supaya pelabur yang memerlukan kemudahan itu dapat berurusan dengan kadar segera tanpa berdepan karenah birokrasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Keterlibatan SIRIM-Industri Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kemajuan Pembangunan Pertanian Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Untuk rekod, maklumat laporan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) menunjukkan Pahang telah meraih pelaburan dalam dan luar negara sebanyak RM9 billion yang melibatkan 244 projek pengilangan pada 2019.

Mengulas selanjutnya, Wan Rosdy berkata dua perkara dalam perancangan terkini kerajaan negeri adalah mendapatkan pelabur swasta yang berminat menaiktaraf dan mengkomersialkan usaha pendaratan ikan di Kuantan yang juga pusat pendaratan ikan terbanyak di wilayah Pantai Timur.

Perancangan lain adalah mewujudkan pusat pengumpulan sayur-sayuran di Pahang untuk terus dihantar ke Selayang, Selangor dan usaha itu akan dimulakan di Bentong dalam masa terdekat ini, katanya.

Mengulas program hari ini, Wan Rosdy berharap lebih ramai pemain industri termasuk kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) dapat meningkatkan kualiti produk masing-masing melalui SIRIM seperti aspek pensijilan, pentauliahan dan pengujian serta penentukuran peralatan.

“Bantuan teknologi yang dibangunkan dan diusahakan oleh SIRIM akan dapat meningkatkan daya saing syarikat menembusi pasaran lebih luas, termasuk antarabangsa yang akhirnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Bagaimanapun, usaha kerajaan dan SIRIM ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama pemain industri.

“Oleh itu, saya berharap syarikat IKS dapat mengambil peluang ini untuk memajukan diri, mempelajari lebih banyak teknologi baharu serta lebih inovatif,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.