Kerajaan Belum Putus Tangguh Sesi Sekolah Walaupun Kes COVID-19 Kembali Meningkat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan tidak bercadang menangguhkan sesi persekolahan seperti diputuskan sebelum ini walaupun terdapat peningkatan semula kes positif COVID-19 di peringkat global, termasuk di dalam negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sesi persekolahan tetap akan diteruskan seperti diputuskan sebelum ini.

“…masih dengan keputusan lama, seperti yang dirancang, bagaimanapun jika terdapat kes di sekolah atau di mana-mana sektor pun kita akan ambil keputusan selepas itu,” katanya ketika sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sesi persekolahan dibuka semula secara berperingkat 15 Julai lepas bagi tingkatan 1 hingga 4 bagi sekolah menengah dan tahun 5 dan 6 bagi sekolah rendah, manakala bagi murid tahun 1 hingga 4, mereka akan mula bersekolah esok dengan Standard Operasi Prosedur (SOP) ketat yang ditetapkan.

Bagaimanapun pembukaan itu mencetus kebimbangan sebilangan ibu-bapa memandangkan kanak-kanak merupakan golongan berisiko yang mudah dijangkiti pandemik COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.