Al-Quran Mushaf Putrajaya Diperluaskan, Beri Peluang Khalayak Dalami Ilmu Al-Quran

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhasrat untuk memperluaskan lagi Putrajaya sebagai pusat penulisan dan percetakan Al-Quran.

Menurut beliau pada masa yang sama perkara lain yang akan turut dilaksanakan adalah ‘Quranic Village’ serta membangunkan sebuah masjid yang diharap dapat diperluaskan lagi manfaat perkongsian menerusi ilmu Al-Quran dan sebagainya lagi.

“Kita ingin melihat bagaimana ilmu Al-Quran dan sebagainya dapat dikongsi di kalangan khalayak dengan lebih berkesan apabila adanya studio kupasan ilmu Al-Quran dan pelbagai yang lain.

“Dan Kementerian Wilayah Persekutuan sangat berbangga dan bersyukur sempena 25 tahun Putrajaya kita jadikan percetakan Al-Quran Mushaf Putrajaya sebagai salah satu inisiatif di dalam Jubli Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan Al-Quran Mushaf Putrajaya kepada Surau Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut menyumbangkan Al-Quran Mushaf Putrajaya serta sumbangan wang tunai untuk Surau Parlimen Malaysia.

Menurut beliau menerusi sumbangan tersebut ianya sekaligus dapat memperkenalkan lagi cetakan Al-Quran Mushaf Putrajaya dan berharap dapat dimanfaatkan oleh warga Parlimen Malaysia.

“Alhamdulillah hari ini ianya adalah satu sumbangan kecil dan pada masa yang sama turut memperluaskan lagi Al-Quran Mushaf Putrajaya ini.Ianya adalah manifestasi komitmen negara khususnya dalam soal penerbitan Al-Quran.

“Putrajaya terletaknya pusat percetakan Al-Quran terbesar di dunia selelas Arab Saudi dan ianya perkembangan yang cukup baik. Mushaf ini direkabentuk oleh pakar tempatan setelah membuat penyelidikan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.