PM Bayangkan Kepayahan Pelaksanaan Semula ‘Lockdown’

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Bimbang dengan kes positif COVID-19 yang kembali mencatatkan angka dua digit di negara ini sejak akhir-akhir ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan kepayahan yang akan dihadapi oleh rakyat dan negara sekiranya ‘lockdown’ (sekatan pergerakan) dilaksanakan semula susulan peningkatan kes dengan mendadak.

Perdana Menteri berkata rakyat tidak boleh ambil mudah dengan perkembangan semasa yang menyaksikan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika mereka menikmati kehidupan yang kembali hampir normal ketika ini.

“Saya pasti saudara saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan ‘lock down sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP yang disiarkan televisyen tempatan.

“Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam kedaan ‘lockdown’ seperti itu,” katanya.

Muhyiddin berkata sekiranya kerajaan menguatkuasakan kembali ‘lockdown’, ia akan meninggalkan kesan yang amat besar terutama kepada ekonomi dan negara akan kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari, secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

Selain itu ia akan menidakkan usaha kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi.

“Harus diingat bahawa kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara PENJANA yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.