PDRM Kaji Senaraikan Penipuan Dalam Talian Dalam Indeks Jenayah

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji untuk menyenaraikan jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian (online scam) sebagai satu daripada kategori dalam indeks jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata pada masa ini beberapa jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian, belum disenaraikan dalam indeks jenayah.

“Pihak PDRM sedang mengkaji untuk memasukkan supaya jenayah komersial menjadi tumpuan khusus untuk kita tangani jenayah online (dalam talian),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) mengenai langkah bagi mengesan dan membanteras jenayah dalam talian di negara ini.

Statistik Jenayah Indeks merupakan petunjuk utama situasi jenayah semasa negara. Jenayah Indeks adalah jenayah yang kerap dilaporkan dan mempunyai signifikasi yang memadai untuk dianggap sangat mustahak sebagai petunjuk kepada keadaan jenayah.

Sementara itu, menjawab soalan asal Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai jenayah indeks di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail berkata pelaksanaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mempengaruhi situasi jenayah negara.

Beliau berkata jenayah indeks yang dilapor dalam tempoh PKP dari 18 Mac hingga 3 Mei ialah 546 kes, manakala dalam tempoh PKPB mulai 4 Mei hingga 9 Jun ialah 708 kes dan bagi tempoh PKPP dari 10 Jun hingga 30 Jun ialah 488 kes.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jenayah indeks semasa tempoh kesemua fasa PKP dari 18 Mac sehingga 30 Jun ialah 1,742 kes, katanya.

Jumlah kes yang dicatat itu menunjukkan pengurangan berbanding tempoh sebelum PKP iaitu 2,225 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga 17 Mac.

Ismail berkata kawalan pergerakan masyarakat bagi menangani penularan COVID-19 menjadi faktor utama mempengaruhi peningkatan dan penurunan jenayah indeks seluruh negara.

Peningkatan jenayah dilihat berlaku semasa PKPB dilaksanakan, apabila syarat penguatkuasaan kawalan pergerakan dilonggarkan, katanya. – BERNAMA