Agong Zahir Ucapan Tahniah Terhadap Penerbitan Semula Utusan Malaysia, Kosmo

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Utusan Malaysia dan Kosmo! atas pelancaran semula akhbar itu, hari ini.

Istana Negara menerusi satu hantaran di akaun Instagram rasminya, memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar penerbitan semula kedua-dua akhbar itu dapat mengangkat profesion kewartawanan serta akhbar berbahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar kedua-dua akhbar itu terus berupaya menjadi saksi kepada lipatan sejarah negara dan menyuburkan hak kebebasan bersuara.

Penerbitan semula Utusan Malaysia dan Kosmo! oleh Media Mulia Sdn Bhd akan dapat memainkan peranan dalam pembinaan negara cemerlang di samping menjadi wadah bagi membina masyarakat bermaklumat dalam era digital yang penuh dengan pelbagai maklumat, menurut hantaran itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.