Tiga Inisiatif Baharu Tingkatkan Kebajikan Veteran ATM – Ismail Sabri

BERA, 18 Julai, – Tiga inisiatif baharu bagi meningkatkan kebajikan veteran Angkatan Tentera (ATM) akan dimulakan pada tahun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata inisiatif itu ialah meningkatkan jumlah bantuan kebajikan bencana alam kepada RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini dan memperkenalkan elaun bulanan kepada penjaga veteran ATM yang terlantar sakit dengan jumlah elaun yang akan diperincikan kemudian.

Satu lagi inisiatif ialah memperluaskan bantuan kemasukan ke universiti untuk anak veteran ATM kepada kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih berbanding terhad kepada kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja ketika ini.

“Selain itu, kita dalam cadangan untuk keluarkan kad pesakit kepada semua veteran ATM supaya mereka bukan sahaja boleh dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan kerajaan tetapi juga di hospital dan klinik swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama veteran ATM di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Ismail berkata inisiatif baharu itu boleh dimanfaatkan semua veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV.

Beliau juga berkata Kementerian Pertahanan akan meneruskan kempen besar-besaran bagi menggalakkan kira-kira 100,000 veteran ATM tidak berpencen yang masih tidak mendaftar dengan JHEV berbuat demikian.

“Mungkin mereka tidak tahu atau tidak terbaca di akhbar atau mereka tidak membuka laman sesawang JHEV, yang menyebabkan mereka tidak mendaftar dengan JHEV.

“Kita juga akan menjalankan program Cakna Veteran iaitu saya akan berjumpa dengan veteran ATM bagi menyampaikan sumbangan dan sebagainya, dan ketika itulah kita akan berkempen supaya veteran ATM yang belum mendaftar untuk mendaftar supaya mereka boleh menerima bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Ismail juga berkata kutipan bagi Kempen Tabung Pahlawan akan dimulakan pada pertengahan Ogos ini dan berharap persatuan veteran ATM dapat bergiat aktif membuat kutipan bagi manfaat anggotanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.