Malaysia Perlu Keluar Produk Kritikal

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Malaysia perlu mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan produk-produk kritikal, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ia merangkumi sektor makanan dan minuman, peranti perubatan, ubat-ubatan, petrokimia serta peralatan perlindungan peribadi seperti sarung tangan dan pelitup muka.

“Apabila negara mempunyai keupayaan tersebut, maka kita mampu mengurangkan aliran keluar mata wang Malaysia dan seterusnya meningkatkan eksport barangan tempatan,” katanya ketika melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan di Suria KLCC di sini, hari ini.

Justeru, katanya kerajaan sedang mengkaji dan menilai semula dasar sedia ada untuk mengurangkan kebergantungan pada produk import dan memberikan keutamaan kepada pembinaan keupayaan industri tempatan mengeluarkan produk buatan Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Muhyiddin menyarankan rakyat supaya “berbelanjalah untuk Malaysia” bagi memulih dan mengekalkan daya saing ekonomi pascapandemik COVID-19.

Beliau berkata pengguna perlu memastikan setiap perbelanjaan adalah lebih nilai untuk wang ke atas produk termasuk produk tempatan yang berkualiti.

“Dengan berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi akan dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menambahkan hasil pendapatan rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata pandemik COVID-19 merupakan detik sukar dan mencabar buat negara, yang turut menyaksikan hampir semua negara mengambil langkah ‘berkurung’ dan terpaksa menutup sektor ekonomi masing-masing, satu fenomena dikenali sebagai “The Great Lockdown”. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.