Semua Pihak Perlu Bekerjasama Kekalkan Keamanan Di Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa semua pihak perlu bekerjasama selain memainkan peranan aktif bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara-perkara berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip-prinsip yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Beliau berkata Malaysia berharap dapat meneruskan perbincangan untuk memuktamadkan Kod Tata Laku di Laut China Selatan (CoC) yang berkesan dan substantif merangkumi unsur-unsur yang menggambarkan hak serta kepentingan semua pihak.

“Sebagai sebuah negara yang mengemukakan tuntutan, Malaysia sentiasa konsisten dalam pendirian kami, tegas dalam komitmen untuk menjaga kedaulatan, hak-hak kedaulatan dan kepentingan kami di Laut China Selatan. Kepentingan nasional Malaysia tetap menjadi keutamaan,” menurutnya dalam kenyataansemalam sebagai respons kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Michael R Pompeo berhubung pendirian AS mengenai tuntutan maritim di Laut China Selatan.

Sementara itu, sebagai respons kepada dakwaan yang timbul susulan sidang akhbar semalam, Hishammuddin berkata beliau bercakap dalam konteks reaksi terhadap aktiviti kapal penggerudi West Capella di mana kehadiran sebuah kapal peninjau China, yang mengiringi Pengawal Pantai China dan militia menangkap ikan, dikesan di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (EEZ) dari April hingga Mei.

“Perkara ini diuruskan dalam tempoh 100 hari pertama saya berada dalam kementerian dan kesemua kapal terbabit telah meninggalkan EEZ kita selepas usaha diplomatik yang intensif. Berhubung kenyataan bekas Menteri Luar, pendirian kita mengenai Laut China Selatan tidak berubah sejak dari masa beliau menerajui Wisma Putra.

“Malah jika beliau mengetahui konteks kenyataan saya semalam berkaitan aktiviti West Capella seperti yang dijelaskan, saya yakin beliau tidak akan salah faham dan memberikan reaksi seperti itu. Respons saya kepada kenyataan yang dibuat oleh Pompeo adalaha seperti di atas yang menegaskan pendirian kita berhubung perkara itu,” katanya.

Media hari ini melaporkan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman membidas kenyataan Hishammuddin yang mendakwa bahawa tiada lagi pencerobohan kapal tentera China di kawasan perairan Malaysia di Laut China Selatan sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

Anifah dilaporkan berkata pada April lalu, flotila kapal perang China dikesan mengiringi kapal peninjau negara itu di kawasan perairan Malaysia. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.