Operasi Perniagaan Di Pahang Kembali Ikut Kelulusan Lesen

KUANTAN, 17 Julai – Kerajaan negeri Pahang membenarkan premis perniagaan yang beroperasi pada masa ini kembali mengikuti waktu operasi berdasarkan kelulusan lesen sedia ada, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengusaha premis perniagaan terlibat bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

“Semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan juga diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo bagi tujuan pendaftaran pergerakan dan semakan kendiri status risiko atau kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri hanya membenarkan operasi perniagaan di Pahang bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa 10 Jun lalu.

Keputusan yang dibuat pada 22 Jun lalu bagaimanapun mengecualikan sektor seperti stesen minyak, klinik dan kilang yang dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen asal.

Wan Rosdy berkata kelab malam, pub dan disko masih tidak dibenarkan beroperasi, selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Bagi aktiviti dan acara keagamaan, sosial atau majlis rasmi seperti mesyuarat, perhimpunan dan latihan, Wan Rosdy berkata penganjuran program perlu mematuhi aspek kapasiti ruang dan jarakan sosial. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.