KWP Belanja RM481 Juta Tingkat Keselesaan Rumah Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukan kira-kira RM481 juta bagi meningkatkan keselesaan penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang berkaitan dengan soal infrastruktur dan sosial amenities.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan itu adalah untuk melaksanakan pelbagai usaha termasuklah membaik pulih dan menukar lif yang usang di PPR dan PA.

“Terdapat lebih 500 lif yang perlu diselenggarakan dan sebahagian besar telah berusia lebih 30 tahun.

“Kita sudah membuat perancangan, 10 peratus lif itu akan diganti pada tahun ini dan menjelang akhir tahun depan kita sasarkan 30 peratus lif diganti menelan belanja RM45 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Annuar lagi, sehingga kini, lebih daripada 7,000 petak tempat letak kereta tambahan telah dibina di beberapa buah PPR dan program itu sedang diteruskan.

Kata Annuar, kerajaan membuat ketetapan untuk melakukan program Urban Renewal di kawasan PPR dan PA.

“Ia untuj menukar sama sekali PA dan PPR yang telah terlalu lama usianya, sempit ruang tinggalnya, kira-kira 400 kaki persegi sahaja dan bangunan-bangunan yang sudah terlalu uzur.

“Sekarang ini dalam perancangan dan sudah dimulakan, sebanyak 12,000 unit baharu akan dibina dengan keluasan kira-kira 800 kaki per segi dengan kemudahan yang lebih lengkap.

“Kita merancang dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke (RMK-12), sasarannya kira 20,000 rumah kos rendah baharu akan dibina,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil penekanan bagi mengatasi tekanan akibat daripada kemiskinan bandar untuk lima inisiatif baru yang akan di lancarkan bagi membantu penghuni-penghuni dirumah-rumah PA/ PPR.

“Yang pertama ialah program yang kita panggil Program MyGrocer iaitu membawa peluang untuk membeli keperluan harian pada harga yang lebih rendah.

Program yang kedua program MyBus untuk mempastikan penghuni yang terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah dapat menjimatkan perbelajaan kos bas sekolah.

Yang ketiga Program MyFood iaitu program untuk memberikan bantuan berkonsepkan foodbank yang tersusun.

Yang keempat Program MyMedik ialah satu program yang membawa perkhidmatan kesihatan ke PPR di 178 tempat yang telah dikenal pasti dan akhir sekali MyJob ialah untuk memberikan peluang–peluang penambahan pendapatan sampingan.

“Lima program ini akan dilancarkan secara berperingkat ditumpukan di 178 kawasan PA dan PPR bagi meningkatkan keselesaan penduduk,” katanya.

Sementara itu, dalam soalan tambahan yang dikemukakan Nik Nazmi, Annuar memaklumkan bahawa projek pembangunan semula PA Setapak Jaya 1A, akan diteruskan. Ia melibatkan kira-kira 588 unit rumah baru yang lebih selesa dan dijangka siap pada awal tahun 2024. – Wilayahku

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.