Kerajaan Rangka Kaedah Baharu Basmi Kemiskinan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kerajaan akan merangka pelbagai strategi dan kaedah baharu sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan rakyat, seiring dengan faktor semasa, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata langkah itu meliputi usaha merangka dasar dan program bersesuaian menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) serta belanjawan tahunan yang akan dibentangkan susulan semakan semula had pendapatan garis kemiskinan (PGK) daripada RM980 kepada RM2,208.

“Susulan kadar (kemiskinan) yang baharu, ini kita panggil satu kaedah. Kita mencabar diri kita sebagai kerajaan, kalau kita nak ambil jalan selamat, kita hanya gunakan angka itu dan dengan itu jumlah atau kumpulan sasar menjadi lebih kecil, tetapi kini kita secara sukarela akan semak semula garis kemiskinan negara.

“Maksudnya, kerajaan akan ambil tanggungjawab lebih besar untuk adakan program pembasmian kemiskinan yang melibatkan jumlah keluarga lebih ramai,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat tawaran kepada 141 Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, semalam.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan akan mengenal pasti rakyat daripada golongan keluarga miskin yang benar-benar dan layak perlu dibantu

Terdahulu, ketika berucap, Annuar berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan memperkenal lima lagi inisiatif tambahan Wilayah Cakna bagi membantu pihak yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata lima inisiatif itu adalah MYJobs@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.

“Kita bukan cakap secara retorik tapi kita benar-benar akan lancar (inisiatif tambahan) tidak lama lagi seperti program MYSchoolBus untuk kita beri pada yang benar-benar layak dan miskin selain MYGrocer, kita bawa barang-barang dari pasar raya ke PPR (Program Perumahan Rakyat) untuk dijual pada harga yang murah,” katanya.

PSH yang menerima surat tawaran pada hari ini adalah sebahagian daripada pengisian 500 jawatan di pelbagai jabatan di DBKL.

Sehingga kini, 479 pengisian PSH telah dibuat merangkumi lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (328), Diploma (134) dan Ijazah Sarjana Muda (17). – BERNAMA