Jenazah ADUN Slim Selamat Dikebumikan

TANJUNG MALIM, 16 Julai – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selamat dikebumikan pada pukul 9.20 pagi di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang di sini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al Rahmaniah Felda Sungai Behrang kira-kira pukul 8.30 pagi dengan solat jenazah diimamkan oleh anak sulungnya, Mohd Amirul Khamil, 30.

Turut menyertai solat jenazah ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta lebih 1,000 hadirin.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir. Malam tadi, jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Bentong, Pahang pada kira-kira pukul 11 malam sebelum dibawa ke kediaman ibunya di sini.

Allahyarham yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggalkan seorang isteri Datin Jamilah Nordin dan tujuh anak.

Allahyarham Mohd Khusairi, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 petang semalam di Hospital Bentong, Pahang selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang.

Allahyarham yang merupakan anak jati Perak menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004, mempunyai latar pendidikan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) di Universiti Kebangsaan Malaysia pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 2015.

Pada PRU14, Allahyarham yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim selama empat penggal berturut-turut dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim yang bertanding atas tiket PKR dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada PAS.

Slim merupakan antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.