Azalina, Rashid Tegas Kendali Perbahasan, Tegur Sikap Ahli Parlimen
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Persidangan Dewan Rakyat semalam menyaksikan ketegasan dua Timbalan Yang Dipertua dalam mengendalikan suasana hangat ‘pertikaman lidah’ Ahli Parlimen ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.
Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika mengendalikan sidang sebelah petang itu tenang tetapi tegas dalam membuat keputusan, menyebabkan Ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, akur dengan keputusan yang dibuat.
Sesi petang hari ketiga persidangan dewan panas ketika apabila Lim Guan Eng (PH-Bagan) membahaskan usul itu apabila beberapa Ahli Parlimen, antaranya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak); Khalid Samad (PH-Shah Alam) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun untuk mencelah.
Lontaran perkataan yang dianggap melanggar peraturan dewan seperti ‘bodoh’ dan ‘perangai buruk’ menyebabkan beberapa Ahli Parlimen bangun mengemukakan peraturan mesyuarat.
Kekecohan melibatkan penggunaan ayat yang mencetuskan provokasi segelintir Ahli Parlimen yang kemudiannya mengemukakan peraturan 36(6) di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang merujuk ‘seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain.’
Ketika itu Azalina bertegas meminta Ahli Dewan Rakyat menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua dewan, setelah beberapa kali meminta Ahli Parlimen yang bangun dan bercakap secara serentak itu duduk dan meminta Lim meneruskan ucapannya.
Azalina berkata bahawa frasa ‘sangkaan jahat’ yang termaktub dalam peraturan mesyuarat itu bersifat umum dan luas serta memerlukan perincian khusus bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.
“Kita mesti ada satu keperincian. Nanti kita tengok macam mana kita nak selesaikan. Ayat (sangkaan jahat) ini agak luas. Saya minta biarlah pada hari esok kami nak bermesyuarat. Boleh tak semua bersabar?
“Jangan gunakan ayat-ayat yang provokasi..esok pukul 10 saya harap Speaker akan buat kenyataan,” kata Azalina.
Ketegasan Azalina itu diteruskan oleh Mohd Rashid ketika mengendalikan sesi seterusnya apabila memberi amaran kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berterusan mencelah perbahasan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) mengenai Lembaga Tabung Haji.
Mohd Rashid yang meminta Abdul Azeez untuk duduk dan memberi laluan kepada Mujahid untuk meneruskan perbahasannya, memberi amaran kepada Ahli Parlimen Baling itu selepas berterusan mengasak.
“Baling, Baling, you will have your time Baling. Is it not clear what I said (Anda akan mendapat peluang nanti. Adakah tidak jelas apa yang saya katakan?) Sekali lagi, jaga,” tegas Rashid yang beberapa kali memberi peringatan kepada Abdul Azeez. – BERNAMA