COVID-19: Sektor Pelancongan Dijangka Kerugian RM45 Bln Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Sektor pelancongan negara dijangka mengalami kerugian sekitar RM45 bilion tahun ini susulan penularan pandemik yang menyaksikan penutupan sempadan negara dan negeri, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, RM31 bilion adalah dalam segmen pelancongan antarabangsa manakala selebihnya segmen domestik.

“Berdasarkan statistik MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), bagi tempoh Januari hingga Mac 2020, perbelanjaan pelancong antarabangsa merekodkan penurunan 41.5 peratus daripada RM21.4 bilion pada 2019 kepada RM12.5 bilion,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan berkaitan perkara sama yang dikemukakan oleh 11 ahli Parlimen antaranya Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis), Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut), Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar), Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) dan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort).

Bagaimanapun Nancy berkata MOTAC menjangkakan sektor pelancongan memasuki fasa pemulihan pada suku kedua tahun ini, didorong oleh pelancongan domestik selepas sempadan negeri dibuka semula.

Nancy berkata sejak sempadan negeri dibuka, hotel-hotel mula merekodkan kadar penghunian yang tinggi sehingga 75 peratus, membuktikan segmen pelancongan domestik kembali rancak.

“Sehingga wabak COVID-19 ini berakhir, rakyat Malaysia digalakkan ‘Cuti-cuti Malaysia’ untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negara,” katanya.

Sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang tertinggi kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara selepas pembuatan dan komoditi, menyumbang RM86.14 bilion kepada ekonomi negara tahun lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.