RM13.8 Bln Telah Diagihkan Di Bawah Subsidi Upah Inisiatif PRIHATIN

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kementerian Sumber Manusia telah mengagihkan sejumlah RM13.8 bilion di bawah program subsidi upah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk mengurangkan beban rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk M. Saravanan berkata sepanjang tempoh subsidi upah ini dilaksanakan, sektor perkhidmatan merupakan sektor yang tertinggi memohon dengan 92,000 permohonan.

“Semasa pelancaran awal, program ini dimulakan dengan dana sebanyak RM5.8 billion. Atas permintaan pihak-pihak industri, kerajaan telah menambah dana sebanyak RM8 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di parlimen hari ini.

Tambahnya lagi, inisiatif subsidi upah juga telah dilanjutkan daripada tiga bulan kepada enam bulan dengan jumlah keseluruhan dana bagi program berkenaan adalah RM13.8 billion.

“Sehingga 30 Jun, hampir 38 peratus iaitu RM5.2 bilion daripada jumlah keseluruhan dana telah diagihkan kepada majikan yang layak oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Pengagihan tersebut melibatkan 319,000 majikan untuk 2.6 juta orang pekerja,” katanya.

Beliau menjelaskan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk membendung COVID-19 tempoh hari, syarikat terpaksa memberhentikan pengeluaran dan operasi, sekali gus menghadapi kesukaran untuk mengekalkan pekerja.

“Inisiatif ini ialah untuk mengurangkan impak COVID-19 kepada ekonomi yang menyebabkan peningkatan kepada kadar pengganguran,” kata Saravanan.

Berdasarkan rekod pemberhentian pekerja yang dilaporkan kepada Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, seramai 48,727 orang telah kehilangan pekerjaan dariJanuari hingga 30 Jun 2020.

Sementara data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pula, kadar pengganguran negara telah melonjak kepada lima peratus kepada 778,800 orang pada April lalu.

Antara sektor yang paling terjejas adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan; penginapan dan makanan dan minuman; kesenian, hiburan, rekreasi dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.