Tindakan Segera Perlu Diambil Kerajaan Untuk Tangani COVID-19 – PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Tindakan segera perlu diambil kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengumumkan peruntukan dalam usaha menangani kesan daripada penularan pandemik COVID-19 tanpa dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata rakyat memerlukan bantuan segera kerana mereka berdepan situasi sukar dan sulit dan tidak boleh menunggu sesi Parlimen yang bermula hari ini.

“Permasalahan besar yang kita hadapi adalah soal untuk menguruskan dan menangani COVID-19 dan rakyat tahu bahawa dalam situasi yang menyukarkan dan sulit ini kerajaan tidak ada pilihan. Malah, saya sendiri berpendapat tindakan segera mesti diambil walaupun sesi Parlimen belum bermula,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai mengapa ahli Parlimen tidak diberikan ruang untuk membahaskan secara terbuka peruntukan-peruntukan besar yang diumumkan kerajaan termasuk untuk pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh COVID-19.

Perdana Menteri berkata beliau memahami tugas ahli Parlimen yang mempunyai tanggungjawab untuk membangkitkan soal perbelanjaan negara, namun tugas kerajaan adalah bagi membela rakyat yang dalam kesusahan.

“Ada berpuluh-puluh inisiatif yang kita perlu laksanakan kerana di luar sana rakyat menunggu. Mereka tidak boleh menunggu sesi Parlimen ini, mereka nak bantuan disampaikan sekarang.

“Mereka menghadapi kesukaran sekarang, industri dah runtuh, perniagaan-perniagaan tidak boleh dilaksana kalau nak tunggu hari ini (sesi Parlimen),” tambahnya.

Muhyiddin menjelaskan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan mengenai perincian perkara itu pada sesi Dewan Rakyat ini.

Beliau menegaskan kerajaan maklum mengenai undang-undang dan peraturan dalam perbelanjaan supaya tidak melebihi paras siling. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.