Tabung Haji : Sudah-Sudahlah ‘Kekanda Mujahid’…Pemuda Konsisten Tuntut RCI – Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa agar tidak mengambil  mengambil mileage (keuntungan) politik di sebalik pengumuman keuntungan RM1.25 bilion Tabung Haji (TH) bagi enam bulan pertama 2020.

Menurut beliau hakikat yang tidak disedari adalah sebahagian besar keuntungan tersebut merupakan keuntungan sukuk UJSB yang masih belum dibayar selain ia hanya untung di atas kertas dan Tabung Haji menanggung risiko amaun ini berkemungkinan tidak akan dibayar selagimana sukuk tersebut belum dijamin oleh kerajaan.

“Kedua, keuntungan ini juga disumbangkan oleh ketiadaan ibadah haji tahun ini. Secara tidak langsung, TH tidak perlu mengeluarkan subsidi sebanyak RM300 hingga RM400 juta seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

“Tetapi dalam keadaan sebegitupun, prestasi keuntungan Tabung Haji masih jauh ketinggalan berbanding tahun-tahun terakhir pemerintahan BN. Pada tahun 2017, Tabung Haji mencatatkan keuntungan RM3.412 bilion. Keuntungan ini telahpun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara pada zaman awal pemerintahan Pakatan Harapan.

“Adakah keuntungan bagi tahun 2018 dan 2019 yang dibangga-banggakan oleh Kekanda Mujahid telahpun diaudit oleh pihak berkuasa? Jika ya, dimana laporan audit tersebut? Pengakuan Kekanda Mujahid bahawa tidak berlaku sebarang penjualan aset Tabung Haji juga meleset,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Asyraf  laporan The Edge Daily pada 21 Mac 2020 mendedahkan bagaimana UJSB telahpun melupus 13 saham yang asalnya milik Tabung Haji ketika harga pasaran berada pada paras yang sangat rendah.

Sebagai contoh tambah Asyraf lagi, 28.48 juta unit saham Icon Offshore Bhd yang didagangkan pada harga purata 25.6 sen pada tahun 2019, telah dilupuskan pada awal Mac 2020 ketika harganya berada pada paras 6.5 sen sahaja.

“Siapakah yang telah memberi izin penjualan saham-saham ini sedangkan kerajaan Perikatan Nasional masih belum terbentuk pada ketika itu?. Begitu juga, bukankah kekanda melalui surat TH bertarikh 3 Disember 2019 telah mempersetujui agar TH melepaskan “First Right of Refusal” yang membolehkan UJSB menjual 18 aset hartanah milik asal Tabung Haji kepada pihak ketiga?

“Dakwaan Mujahid bahawa Tabung Haji mengalami defisit RM10bilion apabila beliau  mengambil alih jawatan menteri adalah tidak benar. Apabila PH mengubah kaedah perakaunan TH dan menolak kaedah Net Realisable Value (NRV) yang diamalkan pengurusan lama, defisit Tabung Haji setakat 31 Disember 2018 hanyalah RM4.1 bilion. Defisit ini membesar kepada RM10.9 bilion pada 31 Disember 2018 iaitu selepas PH membentuk kerajaan,” ujarnya.

Atas sebab itu, tegas Asyraf pergerakan itu sentiasa konsisten dalam tuntutan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dan memulihkan semula kedudukan Tabung Haji ke tahap yang sepatutnya dan institusi umat Islam ini sepatutnya dipelihara dan tidak dijadikan bidak catur bagi keuntungan politik sesetengah pihak.- UMNO Online

Oleh : Azman Abas

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.