Perpaduan Rakyat Malaysia Faktor Kejayaan Tangani COVID-19 – PM Muhyiddin

PUTRAJAYA, 9 Julai – Perpaduan rakyat Malaysia membolehkan kerajaan mengurus pandemik COVID-19 yang melanda negara dengan berkesan dan menjadi antara yang terbaik di dunia.

Menzahirkan rasa terharunya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit dan status sosial, telah bersama-sama membantu dan melindungi antara satu sama lain sehingga Malaysia berjaya mengatasi krisis itu.

Muhyiddin berkata jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu itu diteruskan pada masa akan datang, beliau yakin negara akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang datang.

“Saya percaya dalam jiwa sanubari saudara-saudari semua tertanam nilai-nilai kebaikan yang sentiasa mengajak kita untuk saling hormat-menghormati dan kasih mengasihi sesama manusia, apatah lagi sesama warganegara.

“Nilai-nilai kebaikan inilah yang mesti kita pupuk dan suburkan dalam masyarakat demi mempereratkan perpaduan sesama kita,” katanya ketika melancarkan sambutan Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Acara itu disiarkan secara langsung di Bernama TV (Astro 502, myFreeview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani serta platform media sosial.

Semalam, Malaysia kembali mencatat sifar kes penularan dalam negara atau penularan tempatan dengan hanya tiga kes baharu yang dilaporkan sementara kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 70 kes.

Selain itu, jumlah kumulatif yang sembuh dan didiscaj juga mencecah 98 peratus selain tiada kematian baharu direkodkan selama 24 hari berturut-turut dengan jumlah kematian kekal pada 121 kes.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan proses pembinaan negara bangsa yang bersatu padu di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukanlah mudah dan banyak cabaran sebelum berada pada tahap sekarang.

Bagaimanapun, beliau berkata berkat kebijaksanaan dan kecekalan rakyat yang terdiri daripada semua kaum di negara ini, segala cabaran itu berjaya ditempuhi.

“Kita ketepikan perbezaan dan persengketaan yang wujud dalam masyarakat, kita pupuk persefahaman dan perpaduan sesama kita, akhirnya perbezaan kaum, agama, wilayah dan status sosial tidak menjadi penghalang kepada kita semua hidup secara aman dan harmoni di negara ini.

“Ini adalah pencapaian kita, pencapaian saudara-saudari semua yang sepatutnya kita banggakan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.