Lagi Kenyataan ‘Hentam’ Menteri PBLB: Ingat Siapa Kita… – Farid Nor

KUALA LUMPUR, 9 Julai – “Ingat siapa kita dan di mana kita berada kerana semua hanya sementara… jadi jangan marah, bila tiba masanya, tempat itu kita ambil balik,” ujar Ketua Pemuda UMNO Pahang Farid Nor.

Ujar Farid, bukanlah sesuatu yang mudah untuk memujuk ahli UMNO menerima beberapa individu tertentu yang meninggalkan perjuangan di saat UMNO jatuh dan apabila ahli UMNO telah berbesar hati, maka janganlah sesekali mengambil kesempatan di atas kebaikan tersebut.

“Jika ditanya rata-rata Orang UMNO, mereka lebih senang bercakap tentang Muafakat Nasional (MN) berbanding Perikatan Nasional (PN). Bukan senang nak memujuk sebahagian besar dari mereka, terutama untuk menerima beberapa Individu tertentu yang meninggalkan perjuangan di saat UMNO itu sendiri berada dalam kedudukan yang sukar.

“Walaupun begitu, kita akur kepada kepimpinan kerana menyedari perbalahan tidak akan membawa kita dan agenda yang kita dukung ke mana-mana. Bila kita telah berbesar hati, mengapa ada pihak yang cuba menghina dan apa yang lebih menyakitkan adalah invididu tersebut adalah orang yang lari dari perjuangan yang sebenarnya tidak layak sama sekali untuk memberi pandangan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Farid berkata demikian mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang menyebut UMNO Sabah sebagai sebuah parti yang tidak laku.

Mengulas lebih lanjut Farid berkata, untuk memastikan apa yang cuba dan sedang di bawa hari ini berjaya, adalah penting untuk semua pihak menjaga hati dan perasaan setiap orang yang menyokong kerjasama yang sedang berlangsung ini.

“Lebih-lebih lagi mereka yang bergelar pemimpin, setiap patah perkataan akan dihakimi dan dinilai. Kita boleh bezakan antara kekhilafan dan niat sebenar yang datang dari lubuk hati seseorang, kita tidak bodoh!

“Perjuangan kita masih panjang dan fokus kita kepada PRU-15 maka jangan ada pemimpin yang ‘bermulut longkang’ yang akhirnya memberi impak yang buruk kepada apa yang sedng diusahakan oleh kempimpinan parti masing-masing,” bidas beliau.

Untuk rekod, kenyataan Latiff itu telah mengundang rasa marah ahli UMNO.

Kenyataan tersebut sifatkan biadap dan menghina ahli UMNO khususnya UMNO Sabah malah ramai yang beranggapan Latiff tidak layak untuk berkata demikian kerana dia adalah antara pemimpin UMNO yang melompat parti setelah UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.