Tak Hormat Semangat Setiakawan PN… Lupakah Abdul Latiff? – Hairi

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor kecewa dengan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad  yang langsung tidak menjaga semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata Dr Latiff semakin lupa bahawa UMNO yang banyak membantu dan memberi semangat kepada kerajaan PN.

“Ketahuilah dan sedarlah Dr Latiff bahawa UMNO konsisten sejak awal penubuhan PN dan kekal setia memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Janganlah disebabkan oleh seekor ‘nyamuk’, akhirnya memberikan kesan buruk kepada PN. Hormatilah semangat dan kerjasama dalam kerajaan PN dan janganlah disebabkan oleh nila setitik, habis rosak susu sebelanga,” katanya.

Hairi memberi reaksi demikian mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Mersing yang tular di media sosial mengatakan bahawa UMNO Sabah tidak laku dalam satu sesi forum terbuka, baru-baru ini.

Soal Hairi, sebagai seorang menteri dalam kerajaan PN, adakah wajar Dr Latiff membuat kenyataan sedemikian dan layakkah beliau bergelar menteri?

“Persoalannya… adakah Dr Latiff sedar apa diperkatakannya dan adakah beliau ‘dalam khayalan’ ketika membuat kenyataan itu? 

“Lupakah Dr Latiff bahawa… jentera parti mana yang membantunya sehingga membolehkannya menang kerusi Parlimen Mersing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu? Jika tiada penyertaan UMNO, adakah kerajaan baru PN boleh dibentuk?

“Parti manakah yang merupakan penyumbang terbesar dalam kerajaan PN? Jika tidak terbentuknya PN, adakah Dr Latiff boleh bergelar menteri pada ketika ini? Apakah faktor utama yang memperkukuhkan kerajaan PN pada ketika ini?” soalnya lagi.

Kesemua lima persoalan utama ini, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor percaya Dr Latiff tahu jawapannya jika beliau tidak ‘khayal’, ujarnya.

“Jika Dr Latiff terus khayal, ia sememangnya boleh mengeruhkan semangat dalam PN yang dibina atas faktor hormat-menghormati, harga-menghargai, dengan bersandarkan kepada proses syura dalam membuat keputusan,” katanya.

Hairi juga mengingatkan Dr Latiff ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.