Letak Jawatan Segera, Patutnya Jaga Kepentingan Rakyat Tapi Latiff Asyik Berpolitik – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Tuduhan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mendakwa kononnya UMNO di Sabah tidak lagi ‘laku’ adalah tidak berasas.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, pandangan beliau juga boleh dipersoalkan kerana jika dilihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis, ia telah dibuktikan sebaliknya iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) ternyata masih merupakan parti pilihan rakyat di negeri di bawah bayu itu.

Jelas beliau, sebagai seorang menteri, seharusnya Abdul Latiff bukan sahaja perlu menjaga hubungan baik di kalangan parti gabungan di dalam Kerajaan, tetapi lebih daripada itu iaitu memberi fokus kepada kebajikan rakyat terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini dan bukannya asyik berpolitik sepanjang masa.

“Sesungguhnya, Dr. Abdul Latiff perlu sedar bahawa UMNO parti yang telah melayakkannya menjadi seorang Ahli Parlimen seterusnya diangkat sebagai menteri kabinet.

“Jangan mudah lupa daratan semata-mata kerana kepentingan peribadi. Perlu diingat, rakyat di Mersing memilih beliau sebagai Ahli Parlimen kerana ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, beliau bertanding atas tiket UMNO dan BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, tegas Zaidy, Dr Latiff digesa meletakkan jawatan sebagai menteri di dalam kerajaan kerana ia adalah jalan terbaik.

“Kerana kesediaan UMNO untuk bersama dengan parti-parti lainlah yang membolehkan Kerajaan hari ini ditubuhkan, maka sebab itulah persabahatan antara parti ini perlu dijaga.

“Kita tidak mahu ada seorang parasit di dalam kerajaan yang mampu merosakkan hubungan baik di kalangan parti gabungan di dalamnya. Walaupun tuduhan itu dilemparkan kepada UMNO di Sabah, namun kesannya dirasai oleh UMNO secara keseluruhannya… jangan kerana lidah badan binasa.”

Ujarnya lagi, janganlah dirosakkan dengan kenyataan-kenyataan remeh yang mampu menyinggung perasaan di antara satu sama lain.

“Hormatilah UMNO kerana parti ini bukan parti picisan di dalam gabungan Kerajaan pada hari ini.

“Ingatlah… kami di dalam UMNO seperti sebuah keluarga besar. UMNO dari negeri mana sekali pun akan sentiasa melindungi keluarga UMNO kami dari negeri lain. Begitulah prinsip setiakawan yang kami pegang selama ini.”

Jadi, janganlah ada lagi pemimpin Kerajaan hari ini menghina UMNO atau pemimpinnya secara terbuka, tegasnya.

“Kerana UMNO seperti juga keluarga yang lain, bila dipicit peha kiri, peha kanan pasti akan terasa. Jika tidak mampu lagi menghormati keluarga UMNO, maka letaklah jawatan!,” ujarnya.

Semalam tular di media sosial mengatakan bahawa UMNO Sabah tidak laku dalam satu sesi forum terbuka yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Mersing tersebut. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.