Pemudah IPTS, Mantap IPTA Diwujud Bagi Tingkat Kecemerlangan IPT

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan Pemudahcara Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Sebagai Industri (PEMUDAH IPTS) dalam usaha mengiktiraf pendidikan tinggi swasta sebagai satu industri pertumbuhan ekonomi strategik.

Menteri berkenaan Datuk Dr Noraini Ahmad berkata pasukan itu yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan juga pihak IPTS akan mengenal pasti isu dan cabaran dihadapi IPTS serta mencadangkan penyelesaian terbaik supaya institusi berkenaan dapat bergerak maju dan bersaing di peringkat global.

“Saya sedar ekosistem IPTS masih dikekang beberapa hambatan seperti dasar dan peraturan yang kurang fleksibel, kos promosi yang tinggi dan pengurusan kewangan yang kurang mampan. Situasi ini menjadi lebih buruk dengan impak pandemik COVID-19,” katanya ketika majlis perhimpunan bulanan KPT yang disiarkan secara langsung di laman Facebook kementerian itu, hari ini.

Menurutnya, Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) menjangkakan kemasukan penuntut ke IPTS akan menurun sebanyak 84.1 peratus dengan nilai kehilangan hasil sebanyak RM6.9 bilion bagi tahun ini, dan ia perlu ditangani secara serius.

Jelasnya, selain Universiti Awam, IPTS turut memainkan peranan penting dalam ekosistem pendidikan tinggi negara dengan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi, iaitu RM31.5 bilion melalui kutipan yuran pengajian dan kos sara hidup penuntut.

Noraini berkata bagi memantapkan tadbir urus Universiti Awam pula, KPT menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal Pemantapan Tadbir Urus Universiti Awam (Mantap IPTA).

“Berdasarkan penemuan Jabatan Audit Negara menunjukkan masih terdapat beberapa perkara berbangkit di IPT yang boleh dibuat penambahbaikan khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, pengurusan projek, tadbir urus anak syarikat dan beberapa perkara lain,” katanya.

Justeru, Noraini berharap jawatankuasa itu akan menjadi platform perbincangan harmoni sebagai satu keluarga antara pengurusan tertinggi KPT dan semua Universiti Awam dalam ikhtiar mencari solusi terbaik bagi memantapkan tadbir urus universiti berkenaan.

“Saya akan melihat inti pati perbincangan dan cadangan penambahbaikan dari semasa ke semasa, untuk membantu saya membuat keputusan yang terbaik untuk semua,” tambahnya.

Dalam pada itu, Noraini menegaskan agenda keusahawanan di IPT perlu diperkasa, diberi wajah dan pengisian baharu lebih segar supaya dapat melahirkan usahawan graduan berdaya maju serta memiliki ketahanan minda bagi mengharungi dunia kerjaya yang semakin mencabar.

Bagi mencapai tujuan itu, beliau berkata IPT perlu menyemak semula kurikulum dan program akademik masing-masing supaya dimensi keusahawanan dapat diarusperdanakan.

Katanya, pihak kementerian juga diharap mengambil inisiatif menggandakan usaha pemudahan kepada graduan untuk mereka mendapatkan kemahiran baharu, atau meningkatkan kemahiran sedia ada melalui pelaksanaan program reskilling dan upskilling, selain menumpukan kepada usaha membuat padanan dengan kokosongan jawatan di industri.

“Usaha ini boleh dijayakan melalui pendekatan kolaborasi strategik dengan agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi atau mana-mana badan yang berkaitan,” katanya.

Jelasnya, ini berikutan menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran telah mengalami peningkatan mendadak daripada 3.3 peratus pada Februari kepada 3.9 peratus pada Mac tahun ini.

Kementerian katanya, turut menjangkakan seramai 75,000 graduan khususnya yang akan menerima ijazah pada tahun 2020 akan turut terkesan. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.