Peluang Liga-M Disambung Semula Cerah – Reezal Merican

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Peluang Liga Malaysia (Liga-M) musim ini untuk disambung semula setelah terhenti kira-kira empat bulan akibat pandemik COVID-19, kian cerah.

Ini berikutan, negara kini menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19, khususnya pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Khamis ini.

“Melihat kepada perkembangan rakyat Malaysia yang berdisiplin hingga berjaya melandaikan rantaian COVID-19, saya lihat keyakinan untuk kerajaan memberi kelulusan dan kebenaran kepada sukan-sukan seperti bola sepak untuk kembali beraksi adalah amat tinggi.

“Bagaimanapun, semuanya (keputusan) tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke venue Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 di Pusat Akuatik Arena Larkin, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lepas, susulan penularan COVID-19 selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP, bagi memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.

Mengenai Sukma Johor 2020, Reezal Merican berkata beliau tidak bimbang terhadap persiapan penganjuran temasya itu kerana kebanyakan kemudahan dan venue kini sudah melangkaui tahap kemajuan kerja pembinaan yang ditetapkan.

“Saya boleh katakan persiapan keseluruhan (venue dan kemudahan) berada pada tahap antara 95 dengan 97 peratus, malahan kalau lihat daripada pusat akuatik ini, hanya warm up pool (kolam pemanas badan) sahaja yang masih belum siap.

“Jadi, saya tidak ada kerisauan malah cukup optimis kesemua persiapan boleh siap seawal empat atau lima bulan dari tarikh penganjuran Sukma,” katanya.

Ditanya sama ada tarikh baharu penganjuran Sukma Johor masih kekal pada Mac 2021, Reezal Merican berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dijadualkan tidak lama lagi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.