Belanjawan 2021 Tumpu Empat Tema Utama – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan, akan merentasi empat tema utama – mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambahbaik penyampaian perkhidmatan awam, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Tema pertama membabitkan peduli rakyat yang mana matlamat pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) adalah bertujuan melindungi dan memperkasakan rakyat.

“Malah, rakyat Malaysia telah menunjukkan kesungguhan untuk mewujudkan masyarakat lebih baik dan telah membuktikannya ketika negara mengharungi tempoh yang sukar,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Invest Malaysia 2020, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata usaha seperti #KitaJagaKita telah menyaksikan rakyat negara ini, baik yang tua dan muda, bersepakat dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat untuk saling membantu rakyat yang memerlukan.

“Usaha itu daripada tindakan mengumpulkan dana untuk petugas barisan hadapan sehinggalah menyediakan makanan untuk kelompok masyarakat yang memerlukan hanya menyerlahkan lagi semangat Malaysia yang bersatu walaupun mewakili pelbagai latar belakang,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh usaha memacu ekonomi, Tengku Zafrul berkata antara bidang berkaitan di bawah tema tersebut adalah memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi 2021 dan melonjakkan keyakinan pelabur.

Malah, tegasnya, bidang yang tidak kurang pentingnya di bawah tema itu adalah mempertingkat penggunaan teknologi dan digitalisasi merentasi pelbagai sektor awam dan swasta bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Atas alasan itu, langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan April tahun ini jelas membuktikan lonjakan penggunaan teknologi sama ada oleh individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau korporat,” katanya.

Di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan, hampir RM1 bilion telah diperuntukkan bagi menggalakkan penerapan teknologi dan digital oleh PKS selain menyemai inovasi digital dalam syarikat pemula niaga yang menjadi sebahagian usaha bagi memastikan mereka bersedia serta berdaya saing dalam era Revolusi Perindustrian Keempat.

Tengku Zafrul berkata dari perspektif pasaran modal, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) turut melaksanakan teknologi digital bagi membolehkan dagangan dalam talian dan platform pelaburan yang cekap kos, telah menggalakkan kalangan pelabur runcit dan institusi menggunapakai digitalisasi serta memanfaatkan dagangan ekuiti yang lebih kemas dan lancar.

Menurutnya, bagi suku pertama tahun ini, sejumlah 74 peratus daripada purata dagangan harian oleh pelabur runcit membabitkan transaksi dalam talian.

Dagangan secara dalam talian dalam kalangan pelabur turut meningkat kepada 41 peratus berbanding 31 peratus pada suku pertama 2019.

Beliau berkata, Malaysia turut menyaksikan peningkatan ketara penyertaan pelabur runcit dalam pasaran ekuit, khususnya segmen golongan muda dan menerusi saluran dalam talian.

Pada suku pertama 2020, usaha membuka akaun Perkhidmatan Depositori Pusat (CDS) mencatat peningkatan sebanyak 96 peratus tahun ke tahun.

“Separuh daripada 50,000 akaun baharu yang dibuka setakat akhir April lepas adalah golongan belia. Bagi sebahagian besar mereka, teknologi itu sudah sinonim dengan peluang besar dan segera,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia juga telah menyaksikan urus niaga yang memaparkan kepercayaan dan keyakinan terhadap ruang teknologi kewangan (fintech), termasuk tindakan Great Eastern Holdings Ltd melakukan pelaburan strategik berjumlah RM300 juta dalam unit perkhidmatan digital kewangan Axiata Group Bhd, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi kemudahan bagi kepelbagaian model perantaraan lebih ketara di pasaran sekuriti seperti algoritma platform dagangan dan broker digital.

“SC yang bekerjasama dengan Bursa Malaysia akan memantapkan lagi struktur pasaran dengan membenarkan kemasukan model perniagaan lebih fleksibel dan memiliki struktur modal yang lebih cekap.

“Kita percaya ini akan turut merangsang usaha inovasi lebih hebat, mewujudkan kepelbagaian dalam peserta pasaran dan paling penting meningkatkan nilai kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata Bursa Malaysia, SC dan Bank Negara Malaysia (BNM), telah secara berterusan memperkenal serta menyokong pendekatan bagi meningkatkan aspek ketelusan, dinamik dan kepelbagaian pasaran modal dan kewangan Malaysia.

“Saya percaya ini semua akan menyumbang kepada usaha kita ke arah pemulihan ekonomi dan seterusnya pertumbuhan pada 2021,” katanya.

Menyentuh tema kehidupan mampan, Tengku Zafrul berkata krisis COVID-19 telah memaksa perniagaan dan individu untuk melipatgandakan usaha, bukan setakat digital tetapi juga dari sudut alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyokong kalangan pekerja, pelanggan dan komuniti tempatan.

“Pandemik COVID-19 ternyata tidak menjejaskan momentum bagi pelaburan mampan. Malah, kita melihat sebahagian besar pasaran termasuk Amerika Syarikat, yang menerima dan mengamalkan prinsip-prinsip ESG mencatat prestasi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh prestasi selama lima tahun, FTSE4Good US 100 telah terbukti mengatasi Large Cap di AS dengan pulangan terkumpul sebanyak 80 peratus berbanding 65 peratus.

“Keadaan sama di Malaysia pada Mei apabila indeks penanda aras untuk syarikat yang bertumpukan ESG, Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia telah mengatasi FBM KLCI dengan pulangan sebulan sebanyak 5.3 peratus berbanding 4.8 peratus.

“Pulangan dividen yang diraih oleh Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia juga lebih tinggi pada 4.0 peratus berbanding 3.8 peratus untuk FBM KLCI dan 3.7 peratus untuk FBM EMAS,” katanya.

Beliau berkata syarikat yang mempunyai tadbir urus baik juga telah menunjukkan daya tahan lebih ketara.

Pada akhir April, Indeks Kualiti Tadbir Urus Dunia MSCI susut 5.0 peratus manakala MSCI Dunia turun 10 peratus.

Di peringkat tempatan, katanya, Malaysia telah mempunyai insentif berkaitan ESG seperti pengecualian cukai terhadap pendapatan pengurusan fi bagi syarikat pengurusan dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan dana patuh Syariah, lanjutan pengurangan cukai kos terbitan Sukuk SRI bagi tempoh tiga tahun lagi sehingga taksiran cukai 2023 dan lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga 2023.

“Saya mencabar syarikat-syarikat untuk menjadikan krisis COVID-19 sebagai lonjakan untuk sama ada memperkukuh agenda ESG masing-masing atau memulakan usaha mengamalkan prinsip ESG dalam perniagaan dan operasi mereka,” katanya.

Selain itu, menyentuh tema menambahbaik penyampaian perkhidmatan awam, beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk lebih menumpukan kepada impak dan menyokong rakyat dan perniagaan secara lebih bersasar.

“Ringkasnya, ia bukan setakat mengenai jumlah agihan, tetapi sama ada langkah itu memberi kesan kepada kehidupan dalam cara yang lebih bermakna. Hasil daripada kesemua pendekatan ini turut dikongsi bersama orang ramai pada setiap minggu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) turut menyelaraskan input masa sebenar dan perkongsian data merentasi 53 kementerian dan agensi.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia telah terbukti kekal berdaya tahan biarpun dalam persekitaran mencabar seperti krisis kewangan Asia dan krisis kewangan Global yang berkait rapat dengan asas-asas ekonomi negara yang kukuh serta kerangka institusinya yang dibangunkan dengan baik.

“Hari ini, ekonomi Malaysia lebih pelbagai. Selain itu, kedudukan kita di peringkat luar juga kukuh, disokong oleh lebihan akaun semasa, paras rizab asing yang mencukupi dan pegangan aset luaran yang besar oleh bank-bank dan syarikat,” katanya.

Setakat ini, aset luaran mata wang asing Malaysia terus melebihi liabiliti mata wang asing iaitu 95 peratus berbanding 45 peratus.

Tengku Zafrul juga optimis bersandarkan kadar pertukaran yang fleksibel, mudah tunai tinggi dan kedalaman pasaran bon kerajaan, Malaysia tidak perlu banyak bergantung dengan pembiayaan luar.

“Saya yakin perancangan masa depan yang digariskan adalah jelas, khususnya dari segi empat tema utama bagi Belanjawan 2021.

“Saya berharap ini dapat dijadikan perbincangan sepanjang acara (Invest Malaysia) ini. Kita amat memerlukan idea lebih inovatif mengenai cara untuk memanfaatkan digitalisasi dan bagaimana memasukkan pertimbangan ESG dalam perancangan masa depan.

“Ini penting bagi memajukan Malaysia di bawah kebiasaan baharu dan memastikan negara ini lebih mesra perniagaan dan pasaran serta dapat melonjakkan keyakinan pelabur,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.