Pastikan Ekonomi Negara Berada Di Landasan Betul Jadi Keutamaan Kerajaan – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 6 Julai – Memastikan ekonomi negara berada di landasan yang betul melalui pelaksanaan pakej rangsangan dan bantuan merupakan keutamaan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata antara langkah yang diperkenalkan kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara adalah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion.

Bantuan yang diberikan akan dapat menjana semula kegiatan ekonomi dan menyediakan peluang lebih banyak kepada negara selain menambah peluang pekerjaan serta menjana semula pendapatan, katanya.

“Kita tahu antara perkara yang paling utama nak kita pulihkan ialah ekonomi negara. Kita sedar di waktu kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbagai-bagai peringkat industri, perniagaan dan segala bentuk kegiatan ekonomi hampir terhenti semuanya. Sehari ekonomi tidak bergerak kita rugi RM2.4 bilion.

“Untuk itu beberapa usaha telah kerajaan perkenalkan, (antaranya) pakej PRIHATIN. Ini membuktikan kesungguhan kita meletakkan semula ekonomi di atas landasan yang betul dengan bantuan yang telah kita sediakan untuk semua sektor ekonomi, perniagaan, industri dan bidang utama termasuk mereka yang terlibat dalam kegiatan ekonomi tidak formal,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Muhyiddin juga berkata kerajaan sedar bukan mudah untuk memulakan semula kegiatan ekonomi kerana berdasarkan maklumat yang diterima daripada lapangan, banyak sektor ekonomi menghadapi kesulitan dan kesukaran untuk bangun semula.

“Banyak yang terjejas dengan begitu teruk. Sektor pelancongan hampir lumpuh, sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan juga hampir sedemikian. Oleh sebab itu, kita berada dalam situasi yang cukup sukar,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan Majlis Tindakan Ekonomi yang sepatutnya menunjukkan industri dapat bergerak pantas namun berlaku sebaliknya, disebabkan masalah kewangan, modal pusingan tidak mencukupi selain industri juga memerlukan dukungan lain seperti sistem perbankan yang memudahkan pinjaman.

Muhyiddin berkata pelancongan menjadi sektor yang paling terjejas teruk dengan Majlis Tindakan Ekonomi mengunjurkan tempoh empat tahun diperlukan untuk sektor itu pulih seperti sedia kala.

Beliau berkata ia merupakan jangka yang panjang dengan peserta baharu dilihat akan muncul dalam sektor itu manakala sebahagian besar penggiat lama mungkin tidak dapat meneruskan perniagaan atau mengalami kerugian.

“Mereka memerlukan sokongan dan bantuan untuk mempermudah urusan mereka supaya sektor pelancongan dapat balik semula sebagai antara penjana pendapatan negara yang terbesar. Hampir RM80 bilion (setahun) dapat kita kumpul daripada sektor pelancongan sahaja,” katanya.

Beliau berkata meskipun Bank Dunia menjangkakan ekonomi Malaysia akan kembali pulih tahun depan, namun ia bergantung kepada usaha dan langkah diambil kerajaan untuk merancakkan dan memulihkan ekonomi negara.

Unjuran Bank Dunia itu juga mengatakan Malaysia menjadi antara negara pertama kembali pulih berbanding negara di rantau ini atau negara maju sekalipun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.