Keadaan Kewangan Negara Tidak Seburuk Digambarkan… Mengapa? Ada Muslihat? “Ada Udang Di Sebalik Batu”?

SETELAH beralihnya Kerajaan, dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN), maka beralih juga jawatan Menteri Kewangan, daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Menteri Kewangan, YBM Senator Tengku Zafrul.

Peralihan ini telah membuka satu bab baharu pengurusan kewangan Negara. Menteri Kewangan yang baru pastinya mewarisi keadaan kewangan Negara yang terdahulu iaitu pada zaman Pakatan Harapan (PH).

Ketika PH mula memerintah pada May 2018, keadaan kewangan Negara dikatakan agak tenat dengan pinjaman luar Negara yang tinggi mencecah satu Trillion Ringgit. Keadaan ini menimbulkan kegusaran dan amat sangat kebimbangan kepada rakyat dan para pelabur.

Justeru itu, konon pentadbiran PH telah menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan untuk mengawal perbelanjaan Pengurusan Kewangan Negara.

Penjimatan demi penjimatan dilaksanakan dan beberapa pinjaman dilakukan oleh Kerajaan pada waktu itu. Rakyat digambarkan dengan keadaan kewangan Negara yang meruncing dan sangat tenat serta perlu berjimat cermat.

Melalui pendekatan jimat cermat dan pengurusan yang telus, PH mahu Malaysia bangkit kembali sebagai ‘Harimau Asia’ menerusi usaha keras Kerajaan untuk memulihkan fiskal dan pembaharuan Institusi, ke arah menambah baik ketelusan dan akauntabliti Pentadbiran Negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata perubahan struktur itu akan memastikan pertumbuhan mapan, kestabilan pasaran modal dan sektor kewangan selain mentransformasi Malaysia kepada demokrasi berasaskan peraturan.

Walau bagaimana pun scenario kewangan yang suram itu tidak berapa tepat kerana mengikut Menteri Kewangan PN yang baru ini YBM Senator Tengku Zafrul Aziz bahawa keadaan kewangan Negara adalah baik dan beliau merasa sangat hairan dengan gambaran kewangan Negara yang gelap dan sangat tenat itu sehingga memaksa Malaysia membuat pinjaman luar Negara seperti membuat pinjaman Bon Samurai dari Jepun.

Jika benar kata-kata Menteri Kewangan PN yang baru ini, rakyat ingin tahu apakah maksud dan tujuan Tun Mahathir dan Lim Guan Eng perlu berhutang?

YBM Senator Tengku Zafrul Aziz telah membuat kenyataan yang jelas bagi menzahirkan rasa pelik dan ajaib beliau berhubung keputusan Kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir yang membuat pinjaman luar Negara kerana kedudukan kewangan Negara masih kukuh dan keputusan Kerajaan PH membuat pinjaman dari Jepun menimbulkan banyak persoalan.

Seterusnya YBM Senator Tengku Zafrul Aziz dilaporkan bertanya mengapakah Kerajaan PH begitu rakus membuat pinjaman wang melalui Bon Samurai sedangkan kedudukan Kewangan Negara masih kukuh?

Apa sebenarnya motif Tun Mahathir dan Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan ketika itu yg telah menimbulkan banyak tandatanya?.

Secara tidak langsung kenyataan YBM Senator Tengku Zafrul menjelaskan bahawa Negara tidak perlu membuat pinjaman di luar Negara. Kenyataan YBM Senator Tengku Zafrul juga telah membongkar berhubung tujuan pinjaman yang tersebut dibuat.

Ramai rakyat berpendapat bahawa ada perkara yang disembunyikan oleh Tun Mahathir dan Lim Guan Eng dari pengetahuan rakyat berhubung dengan tujuan pinjaman melalui Bon Samurai dari Jepun.

Sehubungan itu rakyat berpandangan dan berpendapat adalah perlu bagi Kerajaan PN sekarang memulakan siasatan samada oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau wajar ditubuhkan suatu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (SPDR), (Royal Commission Inquiry (RCI)) ditubuhkan bagi mencari jawapan dan penjelasan mengapa Kerajaan PH dan mengapa Tun Mahathir dan Lim Guan Eng membuat pinjaman wang melalui Bon Samurai dari Jepun sedangkan kewangan Negara adalah kukuh.

Sepanjang PH mentadbir Negara selama 22 bulan rakyat dihidangkan dengan rintihan berterusan dan seharian oleh Tun Mahathir dan Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa Kerajaan kini tiada duit kerana pengurusan BN yang lalu tidak cekap dan banyak ketirisan.

Manakala Lim Guan Eng tidak putus-putus dan boleh dikatakan setiap hari membuat kenyataan seolah-olah menipu rakyat dan Parlimen kononnya beliau mengharungi keadaan getir apabila beliau mendakwa 5 bulan pertama beliau sebagai Menteri Kewangan hanya berbekalkan sebanyak RM450 juta sahaja. Angka ini tidak logik dan ada muslihat tertentu seperti pepatah Melayu “Ada Udang Disebalik Batu”.

Dalam pada itu kenyataan Tun Mahathir ketika menjawat Jawatan Perdana Menteri Interim (Interiam Prime Minister) bahawa Negara mempunyai dana yang cukup besar iaitu bernilai RM2 Trillion seperti yang dinyatakan oleh Tun itu nyata adalah sesuatu yang jauh berbeza dari apa yang telah dinyatakan oleh Lim Guan Eng.

Rakyat yang prihatin oleh kerana angka yang terlalu jauh bezanya antara angka yang dinyatakan oleh Tun Mahathir ketika menjawat jawatan terakhir sebagai Perdana Menteri Interim (Interiam Prime Minister) dengan angka yang dinyatakan oleh Lim Guan Eng.

Tanpa niat mahu memenjarakan sesiapa, maka Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) berpendapat bahawa adalah amat wajar Kerajaan PN kini menubuhkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (SPDR) atau Royal Commission Inquiry (RCI) berhubung kenyataan yang amat berbeza oleh dua orang pemimpin penting Negara dibawah kerajaan PH.

Sekian


TAN SRI DATO’ SERI (DR) HAJI MOHD YUSSOF LATIFF
PRESIDEN PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG (PEMENANG)
TOKOH MELAYU TERBILANG UMNO 2018

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.