PKP Tahap Kedua Diperketatkan Esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap Kedua akan memperkenalkan SOP baru esok di mana ia akan diperketatkan dan tindakan yang lebih tegas akan dilaksanakan.

Selain itu jelas beliau, semalam, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ketiga telah dilaksanakan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah Kuala Lumpur.

“PKPD Ketiga ini berikutan 17 kes positif jangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni Menara City One. Ia melibatkan 3, 200 penghuni di 502 unit bermuda 31 Mac hingga 13 April 2020,” ujar beliau dalam sidang media harian hari ini.

Mengulas lebih lanjut berkaitan PKP yang memasuki hari ke-14, Ismail berkata, semalam (Isnin), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 742 individu di sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan PDRM dan ATM kerana melanggar PKP.

“Sebelum ini terdapat 828 tangkapan dan ada penurunan kadar tangkapan.

“PDRM bersama ATM telah mengadakan sebanyak 1,547 SJR dan melakukan pemeriksaan ke atas 383,488 kenderaan dan PDRM sendiri telah melakukan sebanyak 22,586 pemeriksaan mengejut.

“Sebanyak 165 individu telah dituduh, enam daripada mereka telah dijatuhi hukuman denda atau penjara. Di Sarawak, hukuman penjara yang dikenakan adalah sebanyak satu hingga empat bulan,” ujar beliau.

Tambah Ismail, ATM akan menggunakan aset untuk membantu penghantaran barangan keperluan asas di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Selain itu Ismail turut menjelaskan bahawa pihak pengurusan Lebuhraya PLUS, ANIH, LATAR, MEX, PROLINTAS, KESAS, GRAND SAGA dan GRAND SEPADU telah bersetuju untuk memberi pengecualian sewa kedai selama tempoh PKP di kawasan RNR di sepanjang lebuhraya di bawah mereka.

“Kerajaan berterima kasih atas keprihatinan syarikat-syarikat ini, dan berharap ramai lagi akan tampil kehadapan memberi bantuan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.