Pengaktifan Semula Pasukan Sukarelawan Darul Takzim Langkah Tepat – Pemuda UMNO Johor

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyambut baik pasukan Sukarelawan Darul Takzim (SDT) yang diaktifkan semula selepas ianya diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata bagi tujuan tersebut pergerakan itu akan memohon Skuad Sabil dan Pasukan Unit AMAL Johor untuk turut serta dalam SDT ini bagi membantu kerajaan dalam situasi sukar untuk mengekang wabak Covid-19.

Selain itu, menurut beliau Pemuda UMNO UMNO  Johor di bawah Jawatankuasa Penerangan Pemuda akan membantu menyalurkan maklumat-maklumat penting arahan pihak kerajaan berhubung perkembangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita juga sedia menghantar anggota Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk turut serta bersama SDT bagi membantu kerja-kerja di lapangan sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.

“Pengaktifan semula SDT ketika saat sukar ini adalah satu langkah yang tepat untuk kita memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia untuk sama-sama membendung penularan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Serentak itu, beliau turut menggesa agar orang ramai supaya kekal tenang dan tidak panik dengan situasi terkini negara dan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak kerajaan.

Malah, beliau yakin kerajaan sedang memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah Covid-19 ini.

“Kepada mereka yang pulang ke kampung halaman sama ada semalam ataupun hari ini yang terdedah dengan kumpulan besar, disarankan supaya membuat pemeriksaan kesihatan dan kekal di rumah bersama keluarga tersayang kerana ini bukan musik festival untuk kita jumpa kawan-kawan di luar.

“Selain itu Pemuda UMNO Johor juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu di media sosial yang boleh mengundang keresahan serta situasi tidak tenteram dalam masyarakat,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama beliau akan mengarahkan kesemua biro penerangan pemuda di seluruh bahagian supaya aktif di media sosial untuk menyalurkan maklumat yang betul ataupun arahan terkini daripada pemerintah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih dan sekali gus dapat mengawal stuasi panik.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.