UMNO Ada Hak Bersuara, Menjadi ‘Mata Dan Telinga’ Kerajaan – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Mac- Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman berkata UMNO akan menjadi ‘mata dan telinga’ serta menegur ahli-ahli kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, UMNO ada hak untuk bersuara dan yang lebih penting tidak akan berhenti bersuara.

“Yang lebih penting UMNO tidak akan berhenti menjadi ‘mata dan telinga’ untuk menegur walaupun ada ahli-ahli UMNO yang menjadi menteri dan timbalan menteri.

“Kita hendakkan mereka meneruskan suara parti dan mereka tidak perlu takut. UMNO boleh bergerak secara agresif sebagai satu parti politik dan Ahli Parlimen boleh bergerak sebagai dasar badan ‘covering body’.

“Mereka harus membawa suara-suara parti dalam mesyuarat kabinet ataupun dasar-dasar kerajaan,” katanya kepada media di Menara Dato’ Onn, Khamis, di sini.

Tambahnya lagi, sebagai bekas menteri yang berportfolio undang-undang dan juga Ahli Parlimen Pengerang, beliau akan sentiasa menegur kerajaan.

“Saya tidak mahu mulut saya dikunci kerana kita sebagai kerajaan dan saya berterima kasih kerana kita sebagai kerajaan tetapi kalau adanya menteri-menteri dan Menteri Undang-undang yang baru atau sesiapa sekali pun menyatakan sesuatu yang tidak ‘fair’ dan tidak menjadi logik kepada perjuangan UMNO… saya rasa saya yang pertama akan bercakap mengenainya,” tegasnya.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti mesti diteruskan dan sudah tentulah rakyat akan melihat dan membuat penilaian.

“Sudah pasti rakyat akan melihat UMNO semasa 22 bulan menjadi pembangkang dan sepanjang tempoh itu pelbagai isu kita telah perjuangkan dan menyebabkan kerajaan PH menutup kegagalan mereka melaksanakan pelbagai janji. Sebagai contoh Tabung Haji dan sebagainya.

“Sebagai ahli jemaah dalam parti dan menjadi tanggungjawab saya serta rakan-rakan yang diamanahkan oleh parti untuk berbincang polisi bagaimana kita mahu menjayakan apa yang UMNO dan Barisan Nasional (BN) perjuangkan dalam tempoh 22 bulan. Saya percaya YAB Perdana Menteri memahami perkara ini dan tentu ada cara yang baik dan saya harap sama-sama dapat menjayakannya,” ujar Ahli Parlimen Lenggong itu lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.