UMMAH Nasihat Lantikan Politik Kerajaan PH Letak Jawatan Secara Terhormat

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menasihatkan semua pemegang jawatan bagi kuota lantikan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) disarankan agar dapat melepaskan jawatan mereka secara yang terhormat dan berjiwa besar.

Kata Pengerusinya Mohd Zai Mustafa, pemegang jawatan lantikan politik perlu menyedari bahawa selepas pembentukan kabinet baru pada 9 Mac yang lalu, kerajaan PH sudah terbubar dan kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan baru iaitu kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Aspirasi kerajaan PN sudah berubah daripada kerajaan PH, halatuju dan matlamat juga sudah berbeza.

“Penjawatan lantikan politik kerajaan PH dahulu banyak dikuasai dan dipandu oleh parti Dap, yang berbeza dengan kerajaan PN yang lebih mesra majoriti dominasi melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Ulasnya lagi, kementerian penting yang perlu diberi perhatian segera adalah Kementerian Agama dan agensi yang berada di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) dan banyak lagi agensi yang lain.

“Perlantikan jawatan politik bagi agensi tersebut adalah daripada wakil parti sekutu Dap, juga badan bukan kerajaan (NGO) sekutu mereka seperti Ikram, ABIM yang dikenalpasti secara tegar dan terang menentang aspirasi kerajaan sekarang.

“Sewajarnya mereka yang dilantik atas kuota lantikan politik dapat memahaminya dan melepaskan jawatan yang diamanahkan dengan segera dan secara terhormat,” ujarnya lagi.

Justeru itu tambahnya, UMMAH akan mengunjungi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga poftfolio agama Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam masa yang terdekat bagi memberi pandangan dan akan menghantar surat memohon agar lantikan politik kerajaan lama PH bagi agensi yang berkaitan wajar disejajarkan dengan aspirasi kerajaan baru untuk mengembalikan semula peranan dan fungsinya yang sebenar bagi agensi yang berkaitan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.