Mesyuarat Cawangan UMNO Medan Terbaik Perkasakan Parti – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Cawangan UMNO adalah medan terbaik ahli akar umbi bertukar-tukar fikiran dan mengemukakan usul serta cadangan bagi memperkasakan parti.

Katanya, akar umbi menjadi sandaran kekuatan UMNO agar parti keramat ini terus memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Semoga mesyuarat perwakilan cawangan-cawangan dijadikan medan terbaik untuk bertukar-tukar fikiran dan mengemukakan usul serta cadangan bagi memperkasakan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera merangkap Ketua UMNO Bahagian terbabit semalam.

Jelasnya, UMNO Bahagian Bera meneruskan gerak kerja melalui mesyuarat cawangan-cawangan bagi memperkasa akar umbi.

“Syukur majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Bera Tahun 2020 selesai dengan jayanya di Dewan Majlis Padang Luas Daerah Bera.”

Terdahulu dilaporkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh Persidangan UMNO Cawangan bermula 15 Februari hingga 19 April 2020 diikuti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 20 Julai 2020.

Konvensyen UMNO Negeri-Negeri pula dijadualkan dalam tempoh bermula 1 Ogos hingga 15 September 2020 dan Perhimpunan Agung UMNO 2020  ialah pada 26 hingga 31 Oktober 2020. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.