UMNO Harus Terus Bina Jambatan, Bukan Dinding Pemisah – Samsol Bari

PAGOH, 7 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Samsol Bari Jamali berkata, tidak ada seorang pun ahli UMNO yang menduga bahawa parti keramat ini akan hilang kuasa setelah lebih 60 tahun mentadbir negara.

Justeru jelas beliau, apabila kuasa yang hilang telah diperolehi semula maka semua pihak harus berasa insaf dan mengambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku.

“Allah duga kita hilang kuasa selama 22 bulan dan dengan takdir Allah juga kuasa itu datang kembali jadi kita perlu mengambil iktibar. Memang kita berharap perkara ini berlaku tetapi perlu diingat tidak semua yang kita minta akan kita perolehi kerana itulah realiti.

“Jadi kita harus jaga dan manfaatkan bersama apa yang kita ada sekarang ini. Kita ada lebih kurang dua tahun lagi dan yang dalam tempoh ini rakyat yang boleh tentukan kita diterima atau tidak.

“Maka kita mulakan di persidangan cawangan UMNO… kita tunjukkan solidariti kita dalam persidangan ini agar rakyat dapat menilai,” ujar beliau ketika berucap di persidangan serentak cawangan UMNO bahagian Pagoh.

Samsol yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata, semua pihak harus melakukan yang terbaik dan jangan hanya tertumpu kepada golongan UMNO sahaja.

“Kita jangan buat sesuatu yang kita tidak suka orang buat kepada kita. Kalau kita tidak boleh memuji, jangan kita mengeji, kalau kita tidak boleh menambah jangan mengurang, kalau kita tidak boleh menyokong jangan jadi masalah, kalau kita tidak boleh jadi garam untuk ikan tahan lama jangan kita jadi langau yang buat ikan jadi busuk.

“Kita sayang UMNO tapi kita tidak boleh tertumpu kepada ‘kita’ sahaja, lebarkan jaringan. Jangan kita kuat dalam UMNO tapi kita tidak diterima oleh rakyat jelata.

“Perlu diingat, imej kita adalah akar umbi. Baik kita baiklah UMNO, wangi kita baiklah UMNO… UMNO adalah parti perpaduan, UMNO menyatukan Melayu Islam di seluruh negara maka jangan sesekali kita letak syarat untuk kita bersatu. Kita harus jadi jambatan… jambatan… jambatan… bina banyak jambatan, bukan bina dinding untuk pisahkan sesama kita,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.