Pemuda Perak Mahu PM Pertimbang Lantik Zahid Dalam Kabinet

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang menawarkan diri untuk tidak dilantik dalam kabinet kerajaan baharu jelas menunjukkan beliau seorang yang berjiwa besar, berani, berintegriti dan bermaruah serta sayangkan negara.

Demikian tegas Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak yang diwakili ketuanya, Mohd Arrif Abdul Majid

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak menghormati pendirian dan cadangan YB Presiden UMNO untuk tidak dicalonkan sebagai anggota kabinet yang baharu.

“Walau bagaimanapun, Pemuda UMNO Negeri Perak berpandangan adalah tidak wajar bagi seorang Presiden UMNO yang memiliki kerusi Ahli Parlimen terbanyak dalam kerajaan Perikatan Nasional tidak dilantik sebagai anggota kabinet yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Presiden Dr Ahmad Zahid semasa ucapan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-cawangan empat Peringkat UMNO Bahagian Bagan Datuk bagi tahun 2020.

“Pemuda UMNO Negeri Perak berpandangan sekiranya kes-kes perbicaraan YB Presiden dijadikan alasan untuk tidak dilantik sebagai anggota kabinet, Pemuda UMNO Negeri Perak ingin mengajak semua agar berpegang kepada prinsip keadilan ‘seseorang itu tidak boleh disabitkan kesalahan sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman’. Kebolehan, pengalaman dan kredibiliti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini boleh dijadikan sandaran.

“Sewajarnya, YAB Perdana Menteri mempertimbang untuk melantik YB Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai anggota kabinet atas kapasiti Presiden UMNO.”

Dilaporkan, Dr Ahmad Zahid berkata beliau telah mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya beliau tidak dilantik sebagai anggota Kabinet yang baharu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.