Perikatan Nasional Wajib Dipertahan, UMNO/BN Perlu Diperkukuh, Muafakat Nasional Diperkasa

 

BAGAN DATUK, 7 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bukan sahaja Perikatan Nasional wajib dipertahankan malah UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga mestilah diperkukuhkan manakala Muafakat Nasional pula mestilah diperkasakan.

Menurut beliau ujian dihadapan terlalu besar dan semua pihak tidak perlu merasakan cukup kuat apatah lagi selesa kerana situasi politik dalam landskap baharu kini belum selamat dan semua parti di dalam Perikatan Nasional wajib bersatu hati, fikiran dan tindakan.

“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hala tuju Perikatan Nasional. Kesemua parti dalam PN bersatu hati, berfikiran terbuka, tindakan hala tuju dan dasar pelaksanaan program kerajaan haruslah jelas.

“Untuk 100 hari pentadbiran PN, PM harus memperlihatkan impak yang sangat kuat dimana rakyat hanya mahu melihatkan perubahan yang segera setelah kerajaan PH telah merosakkan negara, gagal dalam manifesto dalam membuat pelbagai janji seperti ‘lidah tidak bertulang’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan peringkat bahagian Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk menjelaskan kerajaan baharu hari ini tidak langsung tertakluk kepada manifesto PH.

“Pakej ransangan ekonomi dan dasar-dasar baharu menggantikan dasar PH mesti diumumkan segera, sebagai contoh, rakyat mahu lihat Tabung Haji (TH) mesti dipulihkan, Felda mesti dipulihkan untuk peneroka dan generasi kedua Felda wajib diambil kepedulian segera.

“Bantuan-bantuan kepada rakyat untuk menghadapi kos sara hidup yang tinggi mesti diusahakan segera. Nasib pelajar-pelajar di Universiti, IPTS mesti dibela terutama peminjam-peminjam  PTPTN. Semua pelajar sekolah rendah dan menengah terutamanya dari keluarga B40 dan jangan tinggalkan dari keluarga M40 yang turut terhimpit,” jelas beliau.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menegaskan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak mesti turut diutamakan termasuk peruntukan pembangunan dan menyalurkan kewangan tahunan.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak mesti turut diutamakan, peruntukan pembangunan haruslah secara terus dengan menyalurkan peruntukan kewangan tahunan hendaklah dilaksanakan. Perjanjian MA63 wajib direalisasikan sepenuhnya mengikut kesesuain berdasarkan rundingan dengan mengambil kira kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Projek-projek infrastuktur, pembangunan Sabah dan Sarawak wajib dirancakkan semula. Kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi negeri wajib diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan projek-projek negeri. Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak sebagai pegawai-pegawai awam kerajaan Persekutuan dan Negeri wajib diberi kepercayàan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.